suria

“Topeng dah kemek, kotor terkena abu arang” - Kepak ayam tak laku, isteri Pak Mat menangis pelanggan tetap datang bawa sumbangan

Pak Mat dan isterinya tetap meneruskan perniagaan seperti biasa meskipun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Begitulah kisah yang dikongsi seorang pengguna Twitter, Neyra Shazeyra yang memuatnaik foto sepasang warga emas sedang menjual makanan di bahu jalan.

Ketika dihubungi mStar, Neyra memberitahu dia simpati melihat Pak Mat yang berusia dalam lingkungan 70-an dan isterinya masih meneruskan perniagaan seperti biasa ketika rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan, kerana itulah satu-satunya sumber pendapatan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pakai topeng muka pun tak dijamin selamat kalau...” - Pembantu doktor nasihat golongan obses face mask, ‘borong’ tak ingat orang lain 

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit tak cakap benda betul, doktor kena kuarantin... ‘sakit’ lihat anak meraung minta dukung - “Tolong jangan menonong masuk klinik” 

"Saya ni salah seorang pelanggan tetap Pak Mat, hari-hari memang ada la orang akan datang singgah beli kepak ayam, tetapi semalam(Khamis) masa saya datang beli, Pak Mat duduk termenung tengok ayamnya yang tak laku.

"Pak Mat bukan jual kepak ayam madu je, ada juga makanan lain seperti sosej bakar, rojak buah, buah-buahan dalam paket kecil dan air cincau.

"Selalu saya datang dalam pukul 4 petang, dah tak banyak makanan yang tinggal, tetapi semalam Pak Mat hanya duduk termenung sambil tunggu pelanggan datang beli makanannya yang masih banyak," ujar suri rumah tersebut.

Selain kepak ayam madu, Pak Mat turut menjual rojak buah, sosej bakar dan air cincau.

Wanita yang berusia 32 tahun itu turut memberitahu bahawa gerai Pak Mat sering dikunjungi kanak-kanak memandangkan sifatnya yang baik hati dan harga makanan yang murah.

"Saya sendiri pun boleh kata hari-hari juga beli sebab dekat dengan rumah.

"Kepak ayam tiga ketul RM5, kalau ayam tu kecil, Pak Mat selalu bagi lebih. Air cincau pula saiz kecil RM1 kalau besar pula RM1.50," ujar Neyra yang memberitahu gerai Pak Mat terletak di Taman PKNK, Alor Setar, Kedah.

Gerai kecil seperti ini dikira sebagai ‘syurga’ bagi pelajar yang tak boleh pulang ke kampung.

NETIZEN

Dalam pada itu, Neyra terkejut apabila terdapat netizen yang baik hati menghulurkan sumbangan selepas membaca tweet tersebut.

"Saya tak berniat untuk minta sumbangan pun, tetapi ada beberapa hamba Allah ni minta saya sampaikan sumbangan wang mereka kepada Pak Mat.

"Dalam pukul 3 petang semalam, saya terima lebih RM300 untuk disumbangkan kepada Pak Mat dan isterinya," katanya yang pergi sekali lagi bertemu Pak Mat untuk menyampaikan bantuan tersebut.

Neyra sering mengunjungi gerai Pak Mat memandangkan jarak rumahnya dengan gerai tersebut tidak begitu jauh.

Suri rumah itu memberitahu, isteri Pak Mat yang memakai topeng muka yang sudah kemek, menangis ketika dia menghulur wang sumbangan daripada netizen.

“Isteri Pak Mat menangis ketika saya sampaikan wang sumbangan netizen. Saya tengok topeng muka dia pun dah kemek dan kotor terkena abu arang. Mungkin dia pakai topeng yang sama sepanjang hari.

"Pak Mat tak berhenti cakap terima kasih kepada saya sebagai tanda bersyukur setelah menerima sumbangan tersebut," ujarnya.

Perkongsian yang diulang kicau lebih 5,800 kali dan 7,500 tanda suka itu rata-rata mendapat reaksi simpati daripada netizen.

"Gerai kecil seperti ini dikira sebagai 'syurga' bagi pelajar yang tak boleh pulang ke kampung," ujar seorang pengguna Twitter.

"Bukan semua orang ada duit poket, mungkin hasil pencarian dia cuma dengan jual kepak ayam. Bila tiada orang beli, bekalan makanan pun tak dapat nak beli. Bayangkan kalau kita di situasi dia," tulis netizen lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
warga emas, Pak Mat, topeng muka, kemek

Artikel Lain