suria

Bapa dedah arwah sempat upload status WhatsApp tentang koronavirus sebelum rebah - “Abah, sekarang kat China orang jalan tiba-tiba tumbang”

Atie dilaporkan tiba-tiba rebah di dalam kedai aksesori, tempatnya bekerja di Seksyen 13, Shah Alam.

GADIS yang meninggal dunia ketika membeli aksesori telefon bimbit di tempat kerjanya di Seksyen 13 dekat Shah Alam pada Ahad lalu sempat memuatnaik satu status 'meruntun hati' di WhatsAppnya beberapa jam sebelum pergi menghadap Ilahi.

Perkara itu dikongsi Norazlan Mokhri, 47, bapa kepada Allahyarham Nur Izzah Izzati selepas dimaklumkan isterinya mengenai perkara itu, pagi Rabu.

"Aku berdoa agar virus ini (koronavirus) dijauhkan daripada menyentuh kedua ibu bapaku, adik-beradikku, saudara mara, rakan-rakan, kenalanku dan semua warga Malaysia. Amin," tulis Nur Izzah Izzati di status WhatsAppnya, kurang lima jam sebelum dia meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tengok dia berlari laju...” - Nak tolong tapi tak mampu! Saksi kongsi detik cemas lihat anggota polis rebah masa joging, menyesal tak belajar CPR

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian yang dicemburui, bilal masjid rebah sejurus turun mimbar - “Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa”

Menurut Norazlan, dia terkejut melihat status anak bongsunya itu yang memohon kepada Allah agar keluarganya dan juga rakyat Malaysia dijauhkan daripada wabak berbahaya itu.

"Saya dapat tahu tentang status WhatsApp arwah apabila dimaklumkan isteri saya. Isteri saya tiba-tiba tunjuk (status) dekat saya sambil nangis.

"Bila tengok status tu memang saya terkejut, mengalir air mata saya. Arwah macam dah tahu dia akan pergi. 

Status WhatsApp Atie yang sempat ditulisnya beberapa jam sebelum meninggal dunia.

"Dia buat status tu hari yang sama pukul 12.30 tengah hari. Lepas tu pukul 5 petang (Ahad) dia meninggal," katanya kepada mStar.

Malah Norazlan turut mendedahkan anaknya itu kerap meluahkan kebimbangan mengenai jangkitan koronavirus yang semakin menular di seluruh dunia.

"Sepanjang minggu ni dia memang kerap cerita pasal virus tu. Dalam kereta sebelum kejadian tu dia ada cakap dengan saya 'abah sekarang dekat negara China orang jalan-jalan tiba-tiba tumbang'.

"Saya pun pesan kat dia supaya berhati-hati. Bahaya juga kerja berurusan dengan macam-macam cutsomer lebih-lebih kalau orang luar. Tapi tak sangka benda tu (tiba-tiba pengsan) jadi kat anak saya pula," katanya.

Meskipun timbul khabar angin yang mengaitkan kematian Nur Izzah Izzati atau lebih mesra disapa Atie dengan wabak koronavirus, Norazlan menafikan perkara itu.

"Hasil keputusan bedah siasat menunjukkan kematiannya tiada kena mengena dengan koronavirus.

"Dia pun tak ada sakit apa-apa. Sebelum kejadian dia macam biasa. Dalam video yang tular tu dapat tengok dia ceria masuk kedai sebelum tiba-tiba pengsan," katanya.

Atie amat rapat dengan bapanya.

Tambah Norazlan lagi, dia sempat menemani anaknya itu keluar buat kali terakhir kira-kira pukul 3 petang Ahad lalu.

"Pada hari kejadian, saya tak berniaga kebetulan arwah cuti sebab nak pergi kenduri tunang kawan dia. 

"Lepas tu arwah ajak saya keluar beli barang. Sampai dekat kedai, saya cakap dekat arwah saya tunggu dalam kereta. Selang lima minit kemudian kawan dia tiba-tiba datang kat saya beritahu arwah pengsan.

"Saya pun bergegas keluar. Waktu tu saya tengok dia macam dah kejang dah. Saya tengok tangan dia dah biru. Saya urut tak boleh. Saya dapat rasakan nadi dia dah tak ada," katanya.

Saya masih lagi ingat sebelum dia meninggal dia sempat deko bilik tidur dia. Dia tanya saya nak letak cermin dekat mana? Saya pun tolong angkat katil dia sebelum kami keluar.

NORAZLAN MOKHRI.

Bapa.

Jelas Norazlan, dia terus mengangkat Atie masuk ke dalam kereta sebelum membawanya terus ke hospital berdekatan premis itu bersama seorang rakannya.

"Saya terus bawa dia ke wad kecemasan. Masa tu doktor segera beri bantuan tapi arwah tetap tak beri sebarang respons.

"Doktor cakap nak cuba lagi sekali tapi saya minta doktor untuk berterus-terang mengenai keadaan anak saya. Saya kata kalau dia ada atau tak ada saya reda je. Lepas tu barulah doktor cakap anak saya dah tak ada sebenarnya," katanya.

Atie seorang anak yang happy go lucky.

Norazlan berkata pemergian Atie benar-benar memberi kesan kepada keluarga terutamanya dirinya yang amat rapat dengan anak bongsunya itu.

"Pemergian dia memang beri kesan pada keluarga tapi saya paling terasa betullah sebab dia amat rapat dengan saya. Dia anak yang manja. Dia juga jenis happy go lucky.

"Saya masih lagi ingat sebelum dia meninggal dia sempat deko bilik tidur dia. Dia tanya saya nak letak cermin dekat mana? Saya pun tolong angkat katil dia sebelum kami keluar.

"Saya memang tak perasan sama ada itu perlakuan pelik dia. Jadi saya ikutkan saja. Rupa-rupanya itulah hari terakhir dia sebelum pergi buat selama-lamanya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain