Kematian yang dicemburui, bilal masjid rebah sejurus turun mimbar - “Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa” - Viral | mStar

Kematian yang dicemburui, bilal masjid rebah sejurus turun mimbar - “Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa”

Ahmad Saad (kanan) rebah sejurus mengalunkan azan Isyak di Masjid An-Nur Felda Teloi Timur.

KEMATIAN yang dicemburui, begitulah rata-rata komen netizen berhubung kematian seorang bilal sehingga kisah itu tular di laman sosial.

Menurut perkongsian menerusi Facebook rasmi Masjid An-Nur Felda Teloi Timur, Ahmad Saad, 68, yang juga seorang peneroka Felda rebah dan kemudian menghembuskan nafas terakhirnya selepas melaungkan azan Isyak.

"Malam ini ada kematian di Masjid An-Nur Felda Teloi Timur. Beliau ialah bilal sukarela di masjid ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Khatib dijemput Ilahi selepas rebah di mimbar ketika khutbah Jumaat

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia ambil makanan tak banyak...” - Siapa lelaki berjubah, berkopiah, tapi di leher ada tatu bunga ros?

"Seorang yang aktif di masjid dan selalu melaungkan azan secara sukarela di masjid. Hilang lagi sebutir permata. Meninggal malam Jumaat," ujar pengendali masjid yang terletak di Kuala Ketil, Kedah itu.

Posting berkenaan turut disertakan dengan foto jemaah mengelilingi jenazah sejurus dia rebah.

Sempatlah imam pangku, ajar mengucap. Dalam tiga minit dia sudah tiada. Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa.

NORATZMAN ISMAIL

SETIAUSAHA MASJID

Sehingga kini, ia menerima ratusan perkongsian daripada pelayar Facebook dan turut ditularkan menerusi platform media sosial lain.

Dalam pada itu, setiausaha masjid berkenaan, Noratzman Ismail, 39, sewaktu dihubungi mStar mengesahkan kejadian berkenaan.

Ujarnya, arwah baru sahaja selesai mengalunkan azan sejurus aktiviti bacaan Yasin yang dilakukan setiap minggu pada Khamis malam Jumaat di masjid itu.

Jemaah masjid mengelilingi Ahmad Saad sejurus dia rebah dan meninggal dunia.

"Selepas baca Yasin, dia bangun untuk azan Isyak. Habis sahaja azan, dia turun mimbar nak tutup suis mikrofon, terus rebah.

"Sempatlah imam pangku, ajar mengucap. Dalam tiga minit dia dah tiada. Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa.

"Bunyi elok, sedap lain macam. Arwah ni seorang yang peramah, baik dan menghormati orang," ujar Noratzman yang juga pembantu tadbir di Sekolah Kebangsaan Teloi Timur.

Urusan solat jenazah dilakukan pada 11 pagi Jumaat dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Teloi Timur.

Antara komen netizen.

Dalam pada itu, netizen turut menghujani posting berkenaan dengan pelbagai komen berhubung kematian bilal itu.

"Pengakhiran yang sangat cantik! Allahuakhbar.

"Innalillahiwainnailahirojiun. Alhamdulilah pengakhiran yang baik. Semoga Kita semua juga di akhir hayat seperti beliau. Al-Fatihah.

"Kematian yang dicemburui. Semoga ditempatkan dalam kalangan para solihin," tulis beberapa netizen.

Artikel Lain