“Kau jangan pandai-pandai, pinggang aku ni dah tak nak kawan” – Ayah bertukang perabot macam beli di kedai, ramai DM tanya harga

Perkongsian Nur Sarah mengenai kemahiran ayahnya bertukang dan menghasilkan perabot sendiri menjadi tular di Twitter.

“SUMPAH lawa, kreatif dan kemas!”

Demikian antara komen netizen yang meluahkan rasa kagum melihat kecantikan perabot dan dekorasi rumah sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang gadis di Twitter miliknya.

Menerusi perkongsian itu, gadis tersebut turut memuatnaik beberapa keping gambar sebahagian perabot dan dekorasi di rumah ibu bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sampin ayahnya dipotong, nasib yang lama punya” - Budak 9 tahun lipat tanjak macam pro lepas tonton Upin Ipin

ARTIKEL BERKAITAN: Cipta model jentera guna kertas, bahan terbuang... bakat remaja ini buat ramai terpana!

Jangan terkejut, kerana semua yang dipaparkan adalah hasil kreativiti bapanya sendiri!

Menurut gadis bernama Nur Sarah Sazali ini, dia pada mulanya sekadar membuat perkongsian tersebut kerana mahu membantu bapanya, Sazali Abdul Rahman, 46, memperoleh pendapatan sampingan.

“Saya saja-saja nak share apa yang ayah buat sekarang, mana tahu ada orang yang minat dengan perabot kayu dan nak buat tempahan. Bolehlah tambah pendapatan memandangkan sekarang ayah kerja sendiri selepas berhenti kerja di sebuah bank berbelas tahun lalu.

Lampu gantung dan dinding di ruang tamu yang merupakan hasil kreativiti ayah Sarah.

“Tak sangka ramai yang retweet dan posting itu jadi viral. Ramai yang beri mesej menerusi Direct Message (DM) di Twitter untuk tanya harga, lokasi dan sebagainya. Ada dari Johor, Kuala Lumpur dan sebagainya. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang retweet dan puji hasil kerja tangan ayah,” kata gadis berusia 23 tahun ini.

Gadis yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, perkongsian tersebut dilakukan tanpa pengetahuan bapanya.

Hanya selepas ia menjadi tular, dia membuat keputusan untuk memberitahu bapanya mengenai perkara itu.

Ayah Sarah mempunyai kemahiran bertukang yang dipelajari ketika bekerja di sebuah kilang perabot milik rakannya.

“Biasalah orang tua bukan tahu sangat pasal teknologi semua ni. Bila kita terangkan, barulah dia faham. Paling kelakar, ayah siap cakap ‘engkau jangan pandai-pandai Sarah, pinggang aku ni dah tak nak kawan’. Lucu juga bila dia cakap macam tu,” ujarnya yang kini bekerja di Kuala Lumpur.

Bercerita lebih lanjut, Sarah mendedahkan bapanya menderita penyakit slip disc yang menyebabkan pinggangnya mengalami kesakitan sekiranya berdiri ataupun duduk terlalu lama.

Idea kebanyakannya daripada ibu, ayah tukang laksanakannya. Daripada beli kayu, mengukur, memotong dan memasang, semua ayah buat seorang, cuma kadang kala dibantu ibu.

NUR SARAH SAZALI

ANAK

“Ayah dah lebih tiga tahun sakit pinggang sebab slip disc. Ia berpunca akibat ayah dahulu selalu angkat benda berat. Ada satu masa tu, kalau dia duduk dan kemudian nak berdiri semula, memang ambil masa.

“Itu yang dia maksudkan ‘pinggang dah tak nak kawan dengan dia’. Alhamdulillah, setakat ini ayah tiada masalah kesihatan yang serius, melainkan slip disc sahaja. Sebab itu dekat posting saya ada tulis juga, ayah mungkin ambil masa sikit nak buat perabot sebab masalah pinggangnya,” ujar anak sulung daripada tiga beradik ini.

Bercerita mengenai konsep idea perabot dan dekorasi di rumah ibu bapanya itu, ia adalah gabungan kreativiti ayah bersama ibunya.

Sarah memuat naik perkongsian tersebut bertujuan membantu bapanya memperoleh pendapatan sampingan.

“Idea kebanyakannya daripada ibu, ayah tukang laksanakannya. Daripada beli kayu, mengukur, memotong dan memasang, semua ayah buat seorang, cuma kadang kala dibantu ibu.

“Mereka memang suka menghias dan bertukang, cuma sekarang baru ada masa sedikit sebab semua anak-anak dah habis sekolah. Kalau ikutkan, ayah ada pasang wish list untuk ada bisnes kedai perabot kecil-kecilan. Tapi dia takut tak mampu sebab hanya dia seorang saja yang bertukang.

“Darah ‘bertukang’ langsung tak mengalir dalam diri kami tiga adik beradik. Ayah lagi suka kalau ada antara saya atau adik-adik nak belajar, tapi setakat ini memang tak ada siapa yang tunjukkan minat. Tapi ayah tak paksa pun,” ujarnya mengakhiri bicara.

Sehingga kini, perkongsian Sarah di Twitter meraih sehingga 6,400 retweet dan 4,600 likes.

hiasan, dekorasi, bertukang, perabot, pinggang

Artikel Berkaitan

Artikel Lain