suria

“Dia kata tak kuat...” - Nenek tergamam lihat cucu berdialog di kubur ibu, enggan buka slip UPSR di sekolah

Nur Aqilah sebak ketika menziarah pusara ibunya, Allahyarham Ariani Amir di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pauh, Permatang Pauh, Pulau Pinang. -foto Aishah Mat Akat

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR ) yang diumumkan pada Khamis yang sepatutnya dikongsi bersama keluarga tersayang mengundang sayu seorang murid.

Hanya bertemankan ‘batu nisan’, Nur Aqilah Afiah Muhammad Firdaus, 12, berkongsi kegembiraan keputusan UPSR yang diperolehnya di pusara ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tanya nak bunga masa konvo, pemuda ini kata datang pun dah cukup, “Tengok abah depan mata, terubat kerinduan pada arwah mak”

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu padam gambar sendiri kerana rasa diri buruk, anak manja mak akhirnya terkilan - “Tanpa mereka aku kosong”

Beberapa gambar murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Permatang To’ Kandu di Permatang Pauh, Pulau Pinang itu menziarahi kubur ibunya tular di media sosial.

Nur Aqilah membuka sampul yang mengandungi slip keputusan UPSR di pusara arwah ibunya.

Nenek kepada murid berkenaan, Aishah Mat Akat, 63, berkata, cucunya itu sebenarnya adalah kanak-kanak yang ceria tetapi perasaannya sebak sewaktu menerima keputusan UPSR.

“Aqilah ni seorang yang ceria, tapi masa ambil keputusan UPSR tu dia sedih. Dia berharap sangat saya datang ke sekolah masa keputusan UPSR diumumkan.

“Dia kata Opah (panggilan nenek) datanglah ke sekolah, ganti mama (panggilan arwah ibu). Kalau Opah tak datang, nanti kawan-kawan lain ada mama mereka. Aqilah dah tak ada mama untuk temankan tengok Aqilah ambil keputusan UPSR,” katanya dengan nada sebak kepada mStar.

Namun, apa yang membuatkan beliau tergamam apabila cucu sulung daripada keseluruhan tujuh cucunya itu enggan membuka sampul yang mengandungi slip keputusan UPSR yang diterimanya di sekolah.

Kenangan... Nur Aqilah dan adik bersama arwah ibu.

Sebaliknya, Nur Aqilah membuat permintaan untuk menemaninya ke Tanah Perkuburan Islam Permatang Pauh yang terletak di hadapan sekolah untuk menziarahi kubur arwah ibunya.

“Aqilah tak nak buka keputusan UPSR kat sekolah, dia ajak saya ke kubur mama dia. Saya sebenarnya dah tahu keputusan UPSR dia menerusi semakan secara dalam talian pagi tu.

“Dia kata tak kuat... dia nak ‘kongsi’ keputusan peperiksaan tu dengan arwah ibunya. Bagi Aqilah, kehadiran ibunya dapat dirasai setiap kali menziarahi kubur tu,” katanya sambil menambah cucunya itu kini dibesarkan kediamannya di Permatang Pauh.

Menurut Aishah, arwah ibu Nur Aqilah iaitu Allahyarham Ariani Amir meninggal dunia pada usia 35 tahun ketika melahirkan anak ketiganya pada November 2017.

Nur Aqilah tidak dapat menahan sebak sewaktu menziarahi pusara arwah ibunya, Khamis.

Lebih menghibakan apabila Nur Aqilah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu menyebut satu persatu keputusan UPSR yang diperolehinya di hadapan kubur arwah ibunya.

“Sambil pegang slip keputusan UPSR, Aqilah bersuara menyebut satu persatu keputusan yang dia dapat... sambil tu juga dia menangis tak dapat menahan kesedihan.

Sambil pegang slip keputusan UPSR, Aqilah bersuara menyebut satu persatu keputusan yang dia dapat... sambil tu juga dia menangis tak dapat menahan kesedihan.

AISHAH

“Saya hanya diam, biarkan dia melayan perasaan. Aqilah selalu berdialog selain mendoakan arwah ibunya di kubur. Sunyi-sepi... hanya suara dia menangis teresak-esak,” katanya, masih dalam nada sebak.

Aishah yang merupakan bekas guru besar itu memberitahu bahawa setiap minggu cucunya itu akan menziarah kubur arwah ibunya sejak dua tahun lalu.

Aishah (kiri) sebagai nenek kini pengganti 'mama' buat Nur Aqilah (kanan).

Malahan, Nur Aqilah dan adik-beradiknya juga tidak pernah putus berdoa dan menyedekahkan Al-Fatihah buat arwah ibunya setiap hari.

“Aqilah ni seorang yang amat bertanggungjawab, itu sifat yang diwarisi daripada arwah ibunya. Dia mengambil-alih tanggungjawab menjaga adik-adiknya,” katanya.

Enggan Nur Aqilah terus bersedih dengan pemergian ibunya, beliau berpesan kepada cucunya itu supaya kuat semangat dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

“Walau bagaimanapun, masakan bihun Singapore hasil air tangan arwah ibunya pasti tidak akan dapat dilupakan oleh Nur Aqilah dan seluruh keluarga,” katanya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain