suria

Rumah pusaka hangus ketika penghuninya keluar ajar mengaji Quran, mujur rutin berubah - “Kalau berlaku sebelum Asar, tak tahulah apa akan jadi kepada ayah”

Rumah berusia lebih 70 tahun yang didiami seorang bekas pesara kerajaan, Mahmud Othman (kanan) bersama isterinya, Rokiah Ainon yang merupakan seorang guru Al-Quran hangus dijilat api baru-baru ini.

“KALAU kejadian itu berlaku sebelum waktu Asar, tak tahulah apa akan terjadi kepada ayah,” demikian kata seorang lelaki yang berkongsi cerita mengenai insiden kebakaran membabitkan rumah orang tuanya, Isnin lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Roslan Mahmud berkata, ketika kebakaran kira-kira jam 5 petang itu, bapa dan ibu tirinya yang dipanggil Mak Njang tiada di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Dengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah, ibu tunggal kongsi tempoh 15 minit yang sangat menakutkan... perompak ‘umpan’ buka pintu!

ARTIKEL BERKAITAN: Lihat perompak bersenjata santai terjah rumah, orang awam mula rasa tak selamat, “Masuk rumah macam ada birthday party”

Manakala adik Roslan berserta dua orang anaknya pula keluar membuat persiapan untuk berniaga di taman perumahan berdekatan rumah orang tua mereka yang terletak di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

“Pada masa itu ayah keluar ke kedai berhampiran untuk membeli kad prabayar telefon bimbit, sementara Mak Njang pula pergi ke Sekolah Agama Rakyat (SAR) di kampung itu untuk mengajar orang mengaji al-Quran.

“Penghuni yang lain iaitu adik saya dan dua anaknya pula sudah keluar buat persiapan untuk berniaga di taman bersebelahan kampung. Jadi masa kejadian, kesemua penghuni tiada di rumah.

“Syukur sangat tiada kemalangan jiwa. Kalau nak diikutkan, ayah saya kebiasaannya selepas Zohor dan selepas makan tengah hari, dia akan berehat dan melelapkan mata sebentar sementara menunggu Asar. Bila azan dia akan automatik terjaga.

“Jika kebakaran itu berlaku sebelum waktu Asar, tak tahulah apa akan jadi kepada ayah. Tak dapat nak dibayangkan. Sebab itu kami syukur sangat semua orang selamat,” katanya yang menetap di Kepala Batas.

Keadaan rumah Mahmud dan Rokiah yang hangus dijilat api baru-baru ini.

Dalam kejadian pada petang Isnin lalu, rumah berusia lebih 70 tahun yang didiami ayah serta ibu tiri Roslan, Mahmud Othman, 84, dan Rokiah Ainon, 68, musnah 100 peratus dalam kebakaran yang diakibatkan oleh litar pintas.

Kesemua mangsa tinggal sehelai sepinggang gara-gara harta benda turut sama hangus dijilat api.

Dalam pada itu ujar Roslan, kedua orang tuannya kini tinggal sementara di rumah salah seorang ahli keluarga terdekat yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

Rokiah ditenangkan oleh jiran dan tetamu yang datang menziarahinya. Foto: Netizen

“Keadaan ayah baik-baik saja. Cuma Mak Njang masih lagi trauma dan bersedih. Mana tidaknya, rumah itu ada banyak kenangan. Kenduri kendara adik beradik semua buat di rumah itu.

“Lagipun sayang sangat sebab ia adalah rumah peninggalan datuk moyang dahulu. Tapi nak buat macam mana. Apa yang berlaku ada hikmahnya, dan kami semua reda. Walaupun harta benda tak dapat diselamatkan, tapi yang penting Allah pelihara nyawa mereka,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, Roslan berkata dia amat berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa kedua orang tuanya, malah tidak lokek memberi sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Syukur sangat tiada kemalangan jiwa. Kalau nak diikutkan, ayah saya kebiasaannya selepas Zohor dan selepas makan tengah hari, dia akan berehat dan melelapkan mata sebentar sementara menunggu Asar. Bila azan dia akan automatik terjaga. 

ROSLAN MAHMUD 

Apa yang lebih membuatkan mereka sekeluarga terharu, sehingga ke hari ini, orang ramai sama ada orang kampung, kenalan serta pihak berwajib tidak putus-putus datang menziarahi kedua orang tuanya.

“Alhamdulillah syukur sangat ramai yang beri bantuan dan sumbangan. Mungkin sebab ramai yang mengenali Mak Njang kerana dia mengajar orang mengaji al-Quran. Sampai hari ini tak putus-putus orang datang menziarah dan juga beri sumbangan.

“Ada yang datang tolong apa yang patut. Bantuan datang daripada pelbagai pihak, mereka sumbangkan toto, selimut, beras dan barang-barang keperluan yang lain. Saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua, hanya Allah saja yang mampu balas jasa kalian,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kebakaran, hangus, guru, Al Quran

Artikel Lain