suria

Kononnya vape jalan pintas ganti rokok, selepas 3 bulan perokok tegar ini terpaksa bedah telinga, hidung dan tekak serentak... kos cecah RM20K!

Gambar tonsil (kanan) yang berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan pada Khamis lalu.

SESAL dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Begitulah peribahasa yang menggambarkan nasib menimpa seorang pemuda yang berhasrat menggunakan jalan pintas untuk berhenti merokok dengan menggantikannya dengan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.

Namun pemuda itu yang dikenali sebagai Wan Muhamad Amirul Wan Radzuan tidak menduga tindakannya itu akhirnya memakan diri.

Dek kerana terlalu kerap menghisap vape sejak tiga bulan lalu, Wan Muhamad Amirul terpaksa menjalani tiga pembedahan dengan kos mencecah RM20,000 kesan penggunaan rokok elektronik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 minggu hisap vape, doktor kesan lelaki ditahan sebab denggi ada satu lagi penyakit - “Saya perlu dibedah, paru-paru divakum”

ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit

Namun dia bernasib baik kerana kos pembedahan itu ditanggung sepenuhnya oleh pelan insurans nyawa yang diambilnya sejak empat tahun lalu.

Pengalaman ngeri yang dilaluinya itu memaksa Wan Muhamad Amirul atau lebih mesra disapa Mirul berkongsi kisahnya di Facebook sebagai  pengajaran kepada orang ramai.

Tonsil yang berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan pada Khamis lalu.

Perkongsiannya itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Mirul ketika dihubungi mStar berkata, dia menyesali keputusannya bertukar kepada vape sebagai jalan pintas untuk berhenti merokok tanpa memikir kesan buruk penggunaan alat tersebut.

"Dulu saya perokok tegar tapi dua... tiga bulan lepas saya stop merokok dan guna vape. Sejak dari tu saya dah tak merokok dan hanya hisap vape.

"Sebelum pembedahan tu memang saya menyesal sangat-sangat tapi itulah silap diri sendiri sebab tersalah pilih jalan. Jadi sekarang kena tanggung sakit.

"Jadi sesiapa yang niat nak berhenti merokok itu baik pilih untuk slow-slow kurangkan rokok dan banyakkan minum air kosong, bukannya ganti rokok dengan vape," katanya.

Jelas pemuda berusia 24 tahun itu, sejak menghisap vape tiga bulan lalu dia kerap demam, sakit tekak dan lemah badan.

"Demam memang on off. Pada mulanya saya ingat biasa je jadi saya tak pergi hospital pun.

Penggunaan vape membawa padah kepada Mirul yang berhasrat untuk berhenti merokok.

"Saya pergi hospital lepas saya ada masalah telinga. Doktor detect tonsil saya dah ada jangkitan kuman yang teruk.

"Kuman dari tonsil dah merebak ke hidung jadi ada ketumbuhan dalam hidung.

"Bila dah ada ketumbuhan dalam hidung, hingus blok tak boleh keluar. Jadi hingus berkumpul dalam telinga dan pendengaran saya pun terjejas," katanya.

Susulan itu, Mirul berkata doktor terpaksa melakukan tiga pembedahan serentak di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu.

"Sebelum pembedahan tu memang saya menyesal sangat-sangat tapi itulah silap diri sendiri sebab tersalah pilih jalan. Jadi sekarang kena tanggung sakit.

WAN MUHAMAD AMIRUL WAN RADZUAN.

"Jadi doktor decide buang tonsil kiri kanan dan buang ketumbuhan di hidung. Kemudian cecair disedut keluar dari telinga saya dan doktor letak tiub untuk pengudaraan.

"Kalau tak operate segera telinga saya akan terus berdengung dan berdesing. Nak dengar orang cakap pun susah. Bila buat ujian pendengaran tempoh hari memang doktor cakap dah teruk.

"Gegendang telinga kanan saya dah negatif tak boleh berfungsi. Tapi sekarang Alhamdulillah semua dah ok. Cuma sakit lepas operation tu tak tahan," katanya.

Mirul diberi cuti sakit selama 11 hari sehingga 1 November depan.

Selepas insiden itu, pemuda berasal dari Kelantan itu berhasrat untuk berhenti merokok sepenuhnya.

"Saya rasa flavour vape atau pod tu tak sesuai dengan antibodi saya. Untuk orang lain mungkin kesan dia lain. Antibodi kita lain-lain.

"Dan sekarang saya dah tak boleh nak hisap apa-apa. Dah seminggu hidup tanpa rokok dan vape. Buat masa sekarang, Insya-Allah saya akan berhenti merokok," katanya.

Pada masa sama, Mirul turut menasihati orang ramai supaya meninggalkan tabiat merokok dengan cara yang betul.

"Saya hanya kongsi apa yang berlaku pada saya sahaja. Saya tak kata vape atau pod akan beri kesan sama macam saya alami sekarang.

"Mungkin ada orang kesan di paru-paru. Banyaklah kesan buruk akibat penggunaan alat ni. Lagipun kalau kita baca artikel pun, vape boleh sebabkan penyakit kanser.

"Jadi kena banyakkan membaca kebaikan dan keburukan mengenai alat ni. Ada orang vape beri kesan positif bila berhenti merokok tapi ada orang dapat kesan buruk. Ia bergantung kepada badan kita juga sebenarnya," kata Mirul.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
vape, tonsil, pembedahan, rokok

Artikel Berkaitan

Artikel Lain