suria

Ibu bapa terasa hati, Ainul dirawat di UK dipertikai “Terima kasih semua, saya sangat sedih... kalaulah boleh cerita A-Z apa yang kami lalui”

Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani bersyukur pembedahan anak mereka, Ainul Mardhiah berjaya dilaksanakan. Foto Instagram _nrlerwani

RUMAH siap pahat berbunyi, walaupun ketumbuhan di mulut bayi sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap 'Germ Cell Tumour' berjaya dikeluarkan, namun ada segelintir pihak mempersoalkan tentang pembedahan itu yang dilakukan di United Kingdom (UK).

Pertikaian itu ternyata mengguris perasaan ibu bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaidi.

“Sedih dengan segelintir yang masih tak dapat terima keputusan apa yang kami lakukan pada anak kami. Kalaulah saya boleh cerita dari A-Z apa yang kami lalui dari Ainul lahir sampai Ainul yang sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia ikhlas, bukan untuk 'cover' sebarang kritikan” - Ibu Dr Amalina dedah kenapa dia menangis, kongsi apa berlaku di sebalik rawatan Ainul Mardhiah di UK

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah, "Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

“Macam mana susahnya kami cari rawatan untuk Ainul. Ada bahagian yang kami tak mampu nak cerita sebab kami jaga aib dan kerja masing-masing.

“Kami tak sanggup nak lukakan hati banyak pihak. Terima kasih semua. Saya sangat sedih,” demikian luahan Nurul Erwani menerusi perkongsian di IG Story di laman sosial Instagram miliknya, lewat malam Isnin waktu Malaysia.

Ahmad Saifuddin dan Nurul Erwani bersama Ainul sebelum pembedahan dijalankan. Foto Instagram _nrlerwani

Sementara itu, Ahmad Safiuddin berkata, selain pembedahan yang terlalu berisiko, keputusan untuk membawa Ainul ke UK juga adalah salah satu risiko yang besar perlu ditempuhi anaknya itu.

“Tahukah anda, tiga hari selepas Ainul tiba di sini, dia terus dimasukkan ke PICU (Unit Rawatan Rapi Pediatrik) kerana jangkitan? 

“Bacaan oksigennya dari 100 peratus turun kepada 50 peratus serta-merta, Ainul tiba-tiba jadi sesak nafas dan keluar darah dari mulutnya.

“Mengikut kata doktor, Ainul kena jangkitan disebabkan perjalanan yang panjang dan berada lama di dalam kapal terbang,” katanya.

Luahan ibu Ainul di laman sosial Instagram miliknya.

Sehubungan itu, Ahmad Safiuddin menepis dakwaan bahawa keputusan membawa Ainul ke UK hanya atas dasar kehendak mereka sendiri.

“Jika kami dikatakan membuat keputusan untuk ke sini kerana mengikut hawa nafsu kami, maka tuduhan itu adalah tidak berasas kerana untuk membawa Ainul ke sini pun satu risiko yang besar buat dirinya.

Sudah tertulis rezeki Ainul untuk mendapat rawatan di UK, jangan pula dipersoalkan di mana, yang penting pembedahan berjaya. Alhamdulillah.

DR AMALINA

“Alhamdulillah, seminggu pertama Ainul betul-betul struggle (berjuang) lawan jangkitan berkenaan dan dia berjaya!” ujarnya di laman sosial Facebook miliknya sambil berharap Ainul diberikan kesembuhan secara menyeluruh.

Dr Amalina (kiri) bersama ibu bapa Ainul. Foto instagram dramalinabakri

Dalam pada itu, Dr Nur Amalina Che Bakri yang merintis usaha membawa Ainul untuk menjalani rawatan di UK meminta semua pihak tidak membandingkan usaha mana-mana doktor.

“Janganlah dibanding-bandingkan usaha mana-mana doktor. Kami sebagai doktor akan membantu sesiapa sahaja jika mampu tidak kira di mana kami berada, tidak ada kena-mengena dengan isu peribadi dan sebagainya.

“Sudah tertulis rezeki Ainul untuk mendapat rawatan di UK. Jangan pula dipersoalkan di mana, yang penting pembedahan berjaya. Alhamdulillah,” katanya.

Dr Amalina mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang merawat Ainul.

Lebih dikenali sebagai Dr Amalina, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang merawat Ainul sama ada di Malaysia atau di UK.

Beliau turut meminta agar semua pihak tidak menyakiti hati ibu bapa Ainul yang mahu yang terbaik buat anak pasangan itu.

“Marilah kita doakan sahaja kesejahteraan mereka dan semua doktor di dunia ini yang banyak berkorban untuk membantu orang yang berada di dalam kesusahan. Amin,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain