“Gaji akan dirunding semasa temu duga” - JobsMalaysia Kelantan mohon maaf isu gaji rendah pensyarah - Viral | mStar

“Gaji akan dirunding semasa temu duga” - JobsMalaysia Kelantan mohon maaf isu gaji rendah pensyarah

Menurut JMC, berlaku kesilapan dalam iklan jawatan pensyarah yang tular.

PLATFORM pengiklanan kerja JobsMalaysia Kelantan (JMC) tampil membuat penjelasan berhubung kekeliruan iklan melibatkan Kolej MSU Kota Bharu.

Pembantu Perhubungan Perusahaan Kanan JMC, Marzuki Yussof mengakui berlaku kesilapan di pihak mereka berhubung penerbitan iklan berkenaan.

"Sepatutnya tak ada nilai RM1,100 dalam iklan tu. Berlaku kesilapan sewaktu buat iklan, mungkin sebab pegawai kami copy and paste, salah masuk angka itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerja adalah ibadah'! Gaji jawatan pensyarah IPTS Kelantan dalam iklan buat ramai bengang... “Baik tak payah belajar tinggi”

ARTIKEL BERKAITAN: Personaliti Yotube dituduh tunjuk 'buruk' Kelantan, malukan negeri sendiri hasilkan video mat rempit

"Pihak MSU dah lama iklankan kerja dengan kami, dah dekat 10 tahun.

"Sebenarnya untuk kerja pensyarah tu, tak ada jumlah gaji. Ini kerana nilai gaji akan dirunding sewaktu temu duga kerja," ujar Marzuki sewaktu dihubungi mStar pada Isnin.

Kekeliruan adalah berpunca daripada perkataan RM1,100 yang sepatutnya tidak berada dalam iklan tersebut yang telah secara tidak sengaja dimasukkan di dalamnya.

JOBSMALAYSIA KELANTAN

mStar sebelum ini melaporkan tentang iklan oleh JMC untuk Kolej MSU Kota Bharu yang kecoh diperkatakan apabila menawarkan jawatan pensyarah dengan gaji serendah RM1,100.

Ia juga pantas menjadi tular sehingga menerima kecaman ramai.

Kolej MSU Kota Bharu menerusi laman Twitter turut menjelaskan bahawa apa yang diiklankan itu tidak benar sama sekali.

Semakan mStar pada Isnin mendapati posting asal yang membangkitkan isu berkenaan sehingga mengundang kecaman juga sudah dipadam daripada laman Twitter.

Penjelasan JMC menerusi blog mereka.

Pihak JMC menerusi blog mereka turut memperincikan penjelasan mengenai kekeliruan itu.

"Pihak JobsMalaysia Kelantan ingin memohon maaf kepada pengunjung JMC Kelantan pada amnya dan MSU College Kota Bharu secara khususnya di atas kekeliruan maklumat pada gaji iklan tersebut.

"Untuk pengetahuan para pencari kerja dan pengunjung JMC Kelantan, MSU College Kota Bharu tidak pernah menawarkan gaji RM1,100 kepada pencari kerja yang ingin memohon jawatan pensyarah di tempat mereka.

"Kekeliruan adalah berpunca daripada perkataan RM1,100 yang sepatutnya tidak berada dalam iklan tersebut yang telah secara tidak sengaja dimasukkan di dalamnya.

"Kami berharap perbincangan umum dengan meletakkan kesalahan kepada pihak MSU College Kota Bharu tentang perkara ini tidak lagi dipanjangkan," tulis pengendali blog JMC.

Artikel Lain