Terima kasih makcik! Disahkan hamil, wanita ini terus teringat kisahnya di Makkah “Balik Malaysia acik doa kau dapat kembar tiga” - Viral | mStar

Terima kasih makcik! Disahkan hamil, wanita ini terus teringat kisahnya di Makkah “Balik Malaysia acik doa kau dapat kembar tiga”

Raihana bersama suaminya, Muhammad Hafiz dikurniakan bayi kembar tiga selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

KEHADIRAN cahaya mata semestinya diimpikan oleh setiap pasangan suami isteri selepas mendirikan rumah tangga.

Ternyata Syawal kali ini amat bermakna bagi Raihana A. Kadir dan suami tercinta, Muhammad Hafiz Abdul Hadib dengan kehadiran bayi kembar tiga yang usia mereka kini mencecah dua bulan.

ARTIKEL BERKAITAN:“Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkilan bayi kembar tiga ‘pergi’ secara tiba-tiba, “Dia baik-baik sahaja sehari sebelum meninggal”

Berkat doa dan kesabaran pasangan ini yang menunggu kehadiran insan bergelar 'cahaya mata' selama lima tahun, mereka akhirnya dikurniakan tiga bayi comel yang dapat sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Raudhatul Huda, Muhammad Harras dan Muhammad Haris yang masing-masing berusia lebih dua bulan.

Raihana ketika dihubungi mStar memberitahu dia dan suami bersyukur dapat menyambut Hari Raya sebagai ibu bapa kepada bukan seorang, sebaliknya kepada tiga anak.

"Setiap tahun bila tibanya Hari Raya, perasaan saya pasti akan sedih bila lihat saudara mara bahagia dapat tangkap gambar bersama anak-anak.

"Kita yang tiada zuriat ketika itu sangat sedih dan rasa teringin nak beraya dengan anak sendiri... lama-kelamaan saya mula terima ketentuan Allah.

"Alhamdulillah saya bersyukur sangat raya tahun ini doa saya dan suami dimakbulkan, hanya Allah yang tahu betapa gembira dan bahagianya kami," ujar wanita yang menetap di Semenyih, Selangor ini dengan nada sebak.

Raihana dan suami dikurniakan bayi kembar tiga; dua orang lelaki, Muhammad Harras dan Muhammad Haris dan seorang puteri, Raudhatul Huda.

Selepas lima tahun hidup berdua, Raihana bersama suaminya, Muhammad Hafiz menyambut Syawal tahun ini bersama bayi kembar tiga.

Malah, di sebalik kehadiran tiga cahaya mata istimewa itu, terselit satu peristiwa yang sehingga kini masih tidak dilupakan oleh Raihana.

"Saya masih ingat lagi, ketika saya mengerjakan ibadat haji pada September 2017, saya dan kakak berada di masjid untuk menunggu masuknya waktu Zohor dan kebetulan sekumpulan makcik yang tak dikenali tegur kami berdua.

"Kami pun bersembang seperti biasa dan ada seorang makcik ni tanya saya dah ada anak ke belum... jadi saya pun bagitau tak ada rezeki lagi dan dia terus mendoakan saya 'balik Malaysia ni acik doakan kau dapat kembar tiga'.

"Bila saya disahkan mengandung pada September 2018, saya terus teringat kata-kata makcik itu yang sehingga kini saya takkan lupa," katanya.

Dalam pada itu Raihana juga amat berterima kasih kepada makcik yang ditemui di Makkah atas doanya dan juga kepada ahli-ahli keluargnya yang tak pernah jemu mendoakan yang terbaik buat dirinya dan suami.

Gambar yang dimuat naik di Facebook milik Raihana menjadi perhatian netizen.

Raihana dan suaminya telah mendirikan rumah tangga pada Mac 2014 dan dikurniakan cahaya mata pada April 2019.

Raihana juga mengakui, pelbagai usaha yang dilakukan termasuk melakukan rawatan kesuburan atau dikenali sebagai Intrauterine Insemination (IUI) sebanyak tiga kali.

"Rawatan kesuburan yang saya lakukan untuk kali pertama gagal yang ketika itu dibuat pada Disember 2014.

Bila saya disahkan mengandung pada September 2019, saya terus teringat kata-kata makcik itu yang sehingga kini saya takkan lupa.

RAIHANA A. KADIR

"Selepas saya menunaikan haji, saya buat IUI untuk kali kedua tetapi gagal juga. Masa tu saya betul-betul kecewa sebab saya mengharapkan kehadiran zuriat selepas saya pulang dari haji namun nasib tidak menyebelahi saya.

"Saya cuba lagi untuk kali ketiga pada Ogos tahun lepas dan Alhamdulillah, bulan seterusnya saya disahkan mengandung. Saya sangat berterima kasih kepada kakitangan klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang banyak membantu saya," katanya.

Posting yang dimuat naik Raihana di Facebook miliknya telah menjadi perhatian netizen sehingga mendapat hampir 4,000 perkongsian.

Raihana A. Kadir , kembar tiga , Semenyih

Artikel Lain