“Saya masih ada kereta Proton Saga” Dr Maza dedah ada pihak tawar kereta baharu selepas kereta kerajaannya dibakar - Viral | mStar

“Saya masih ada kereta Proton Saga” Dr Maza dedah ada pihak tawar kereta baharu selepas kereta kerajaannya dibakar

Keadaan kereta rasmi Mohd Asri (gambar kecil) yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di rumahnya di Kangar, Perlis pada Jumaat lalu. Foto Bernama

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kini mengambil perhatian mengenai keselamatan rumah dan keluarganya, susulan kereta rasminya dibakar Jumaat lalu.

Beliau yang dikenali sebagai Dr Maza berkata, pagar rumah masih tidak bertutup seperti biasa, tetapi akan dikunci ketika waktu tidur berbanding sebelum ini yang dibiar terbuka 24 jam.

“Sebelum ini saya berfikir apalah yang ada dalam rumah saya. Hanya buku-buku yang memenuhi ruang. Itulah khazanah saya. 

“Adapun pada anak-isteri saya, kami semua marhaen biasa. Tiada emas dan perhiasan mahal di tubuh. Jika ada pun kadarnya yang terlalu sedikit. 

“Tidak perasan pun ia wujud. Bak kata orang tak balik modal jika pencuri masuk mencuri,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, Selasa sambil menambah barang lain yang paling disayanginya adalah komputer riba kerana mengandungi hasil kerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Dr Maza terbakar di kediaman sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: “Biasa kereta di pejabat, takdir Allah saya ‘parking’ di rumah” – Mufti Perlis

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti Perlis dakwa kereta terbakar angkara ‘pengganas’

Selain orang ramai memberikan kata-kata semangat, Mohd Asri mendedahkan ada pihak yang turut menghubunginya untuk memberikan kenderaan baharu.

“Ada juga yang menghubungi saya untuk memberikan kenderaan baharu. Saya amat hargai dan terharu. 

“Ada juga yang menghubungi saya untuk memberikan kenderaan baharu. Saya amat hargai dan terharu. 

Dr Maza

Mufti Perlis

“Saya ingin beritahu bahawa kereta yang dibakar itu kenderaan kerajaan. Sama ada saya akan mendapat gantian baharu ataupun tidak, saya belum pasti. 

“Harap-harapnya saya dapat yang baharu. Entah bila, saya belum tahu,” katanya yang bersyukur setakat ini dirinya dan keluarga tidak trauma akibat insiden itu.

Pegawai Penyiasat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis dan Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terhadap kenderaan rasmi Mufti Perlis, Jumaat lalu. Foto Bernama

Bagaimanapun Mohd Asri memberitahu bahawa beliau masih mempunyai kereta sedan Proton Saga, meskipun tidak baharu tetapi masih boleh digunakan.

“Saya masih ada kereta sedan Proton Saga. Masih boleh bergerak bak kata orang ‘tiada rotan akar pun jadi’. Saya juga ada (Toyota) Estima yang walaupun agak berusia tapi masih baik,” katanya sambil menambah ia merupakan kenderaan keluarga beliau.

Mengakui kenderaan adalah penting dalam kehidupan, namun Mohd Asri menjelaskan ia digerakkan berdasarkan perjuangan.

Jelas beliau, sekalipun kenderaan terhenti, perjuangan tidak boleh berhenti dan musuh boleh membakar kereta atau apa sahaja.

“Kenderaan hanyalah salah satu alat dalam menguruskan perjuangan. Hanya satu sahaja yang boleh menamatkan kisah perjuangan kita, iaitu ajal. 

“Kita akan mati, namun perjuangan tidak pernah berhenti. Ia adalah kafilah yang berterusan sehingga kiamat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi Jumaat lalu, kereta jenis Honda Accord Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan, dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.

Polis kini memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memasuki kawasan kejiranan Mohd Asri di Kangar, Perlis.

Artikel Lain

Derita si janda muda