suria

“Biasa kereta di pejabat, takdir Allah saya ‘parking’ di rumah” – Mufti Perlis

Pasukan bomba membuat pemeriksaan terhadap kereta milik Mufti Perlis di kediamannya di Kangar, awal pagi Jumaat. Foto Facebook DrMaza.com

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberitahu keretanya disedari terbakar ketika sedang bersiap untuk solat Subuh, awal pagi Jumaat.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, kenderaan itu kebiasaannya diletakkan di pejabatnya di Kangar, Perlis.

“Biasanya kereta ini berada di pejabat. Takdir Allah beberapa hari ini saya ‘parking’ di rumah selepas program sebelah malam. 

“Rumah saya pula memang tidak menutup pagar sejak dulu. Ini bagi membolehkan orang masuk terus ke pintu. Apatah lagi loceng rumah sudah lama rosak,” katanya menerusi perkongsian berhubung insiden itu di laman sosial Facebook miliknya, tengah hari Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Dr Maza terbakar di kediaman sendiri!

Mohd Asri berkata, setakat ini pihak forensik bomba yang menjalankan pemeriksaan sejak awal pagi memaklumkan kepada beliau bahawa siasatan awal tidak menjumpai sebarang unsur sabotaj. 

Dr Maza.

Mohd Asri berkata, menurut pasukan bomba, terdapat kemungkinan kebakaran berlaku dari dalam enjin di bahagian bateri. 

“Tidak ditemui unsur luaran. Apa pun, kita menunggu laporan sepenuhnya siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan forensik bomba secara rasmi.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan bomba dan PDRM yang membantu menyiasat kes kebakaran kenderaan kerajaan yang saya naiki,” ujarnya.

Terdahulu, kereta Mutfi Perlis jenis Honda Accord hitam itu dipercayai dibakar di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan, Kangar pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian pada kira-kira pukul 5.30 pagi itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

Dalam kejadian itu, turut terdapat kesan pecah pada cermin hadapan dan belakang kenderaan itu.

Wari berkata, berlaku kerosakan kenderaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel Lain