suria

“Saya tidak diberitahu ada kenderaan di landasan” - Juruterbang

Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam.

JURUTERBANG pesawat yang merempuh sebuah kenderaan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, mendakwa telah diberikan kebenaran oleh pusat kawalan trafik udara untuk mendarat dan tiada notis dikeluarkan mengenai kerja-kerja penyelenggaraan.

Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam, yang menerbangkan pesawat persendirian, Bombardier Challenger 300, berkata dia tidak melihat sebarang lampu lain di landasan itu, melainkan lampu panduan dan penanda sempadan lapangan terbang.

"Beberapa saat selepas pesawat itu mendarat, ia mengenai sesuatu ketika ia meluncur di landasan.

"Ada hentakan, bunyi dentuman kecil, dan pesawat membelok sedikit, tetapi saya dapat mengawal pesawat," katanya ketika ditemuramah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat persendirian langgar kenderaan jurutera di landasan, seorang cedera

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kemalangan di landasan LTSAAS meninggal dunia, MAHB akui kehilangan staf berdedikasi, komited

Beliau berkata, mereka memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke ruang pesawat selepas memeriksa instrumen pesawat dan mengesahkan tiada kebakaran.

Muhammad Fauwaz yang mempunyai pengalaman 7,000 jam penerbangan, mendakwa terkejut apabila dia mendengar di radio komunikasi lapangan terbang bahawa pesawat itu telah merempuh sebuah kenderaan dan terdapat kecederaan.

Dalam insiden pada pukul 3.15 pagi Isnin, pesawat itu merempuh kenderaan kejuruteraan Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB), mengakibatkan pemandunya, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, cedera parah.

Kenderaan itu digunakan untuk mengawasi kerja-kerja pembaikan elektrik dan mengecat di landasan.

Kenderaan yang dirempuh pesawat persendirian di  landasan LTSAAS, pagi Isnin lalu.

Mohd Ruzaimi bagaimanapun meninggal dunia pada Selasa.

Kes tersebut disiasat oleh polis dan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Muhammad Fauwaz turut mendakwa bahawa dia diberikan kebenaran untuk mendarat, kira-kira empat minit sebelum menghampiri lapangan terbang.

"Saya tidak melihat mana-mana lampu lain di landasan, melainkan lampu panduan lapangan terbang, kerana pesawat menghampiri landasan.

"Jika ada kerja-kerja yang sedang dijalankan atau sebarang kenderaan di landasan, biasanya akan ada lampu isyarat amaran," katanya.

Dia turut mendakwa lapangan terbang tidak mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (Notam), bagi menunjukkan terdapat kerja-kerja sedang dijalankan dan dia berhubung dengan menara kawalan sebanyak dua kali.

"Cubaan pertama tidak mendapat respons dan menerusi panggilan kedua, menara memberikan kebenaran kepada kami untuk mendarat," katanya, yang turut berduka cita berhubung insiden itu.

Pesawat persendirian milik Berjaya Air itu ketika kejadian melakukan penerbangan cater (sewa khas) dari Jaipur, India, dengan membawa lapan penumpang.

Turut difahamkan bahawa dua pekerja di pusat kawalan trafik udara yang bertugas pada pagi kejadian digantung tugas sehingga siasatan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan BSKU.

Sumber memberitahu, BSKU mengambil perakam suara kokpit pesawat itu bagi meneliti perbualan antara juruterbang dan kakitangan di menara kawalan udara serta perbualan antara juruterbang dan pembantu juruterbang semasa proses pendaratan.

Siasatan akan mengambil masa dua minggu. - The Star

Artikel Lain