Mangsa kemalangan di landasan LTSAAS meninggal dunia, MAHB akui kehilangan staf berdedikasi, komited - Semasa | mStar

Mangsa kemalangan di landasan LTSAAS meninggal dunia, MAHB akui kehilangan staf berdedikasi, komited

Kenderaan yang dipandu Ruzaimi terlibat dalam kemalangan dengan pesawat persendirian pada Isnin.

PEMANDU kenderaan kejuruteraan lapangan terbang yang terlibat dalam kemalangan dengan pesawat persendirian di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang dua hari lalu telah meninggal dunia, petang Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, Mohd Ruzaimi Iskandar  Ahmad Razali, meninggal dunia pada pukul 6.45 petang disisi isterinya Nor Azawiah Md Usuf serta empat anak berusia setahun hingga 13 tahun.

"Malaysia Airports dengan berat hati memaklumkan bahawa kakitangan kami yang terlibat dengan kemalangan di landasan Lapangan Terbang Subang telah meninggal dunia petang ini selepas dua hari berada di dalam pemantauan rawatan intensif.

"Ruzaimi merupakan staf yang berdedikasi dan penuh komited dengan tugasnya.

"Beliau di kenali dalam kalangan rakan-rakan dan pengurusan sebagai individu berbakat dengan etika kerja yang menjadi contoh,” katanya.

Artikel berkaitanPesawat persendirian langgar kenderaan jurutera di landasan, seorang cedera

Beliau juga menganggap pemergian pekerja berusia 39 tahun itu sebagai  kehilangan tragis buat MAHB.

"Kami akan memperluaskan sokongan kepada ahli keluarga si mati dan memudahkan pengaturan pengebumian.

"Keutamaan kami adalah memastikan keselesaan dan kesejahteraan keluarga dijaga," katanya.

Tambahnya lagi, dalam keadaan bersedih, MAHB meminta pihak media dan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga ketika waktu sukar ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain