suria

2 suspek lagi ditahan terlibat kes pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim

POLIS pada Selasa menahan dua lagi suspek berhubung kes pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata penahanan kedua-dua suspek berusia 27 dan 41 tahun itu di sekitar Pasir Gudang, Johor Bahru adalah susulan tangkapan ke atas sembilan individu terdahulu yang diumumkan polis.

Mohd Khalil berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kilang yang bertanggungjawab ke atas pembuangan sisa kimia tersebut.

“(Dua suspek) ini bertanggungjawab membenarkan orang-orang ini (suspek-suspek terdahulu) mengangkut (sisa) toksik berkenaan untuk proses pelaksanaan seterusnya.

Selain penahanan mereka, polis turut menemui sebuah kenderaan yang digunakan untuk membuang sisa itu yang turut dirampas,” kata beliau kepada pemberita di luar Menara Aqabah pada Selasa.

Beliau berkata kilang yang terlibat dalam insiden itu turut dikenal pasti terletak dalam Pasir Gudang.

Kedua-dua suspek itu kini direman selama bermula dari hari ini sehingga 25 Mac.

Dalam pada itu, Mohd Khalil berkata salah seorang daripada sembilan suspek yang ditahan terdahulu telah dilepaskan dengan jaminan polis setelah didapati tiada kaitan dengan insiden pencemaran di sungai berkenaan.

Lapan suspek lagi pula masih direman sehingga Sabtu ini. Kesemua mereka, juga berusia antara 27 hingga 41 tahun.

Mohd Khalil berkata kertas siasatan kes akan dilengkapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan mahkamah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 278, 284 dan 326 Kanun Keseksaan.- BERNAMA.

Sungai Kim Kim, Sisa Toksik

Artikel Lain