suria

Sungai Kim Kim kini selamat, bebas pencemaran

JAJARAN sejauh 1.5 kilometer Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang terjejas akibat sisa kimia kini disahkan selamat dan bebas pencemaran.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC), Yeo Bee Yin berkata, ia berpandukan ukuran kualiti udara melalui bacaan partikel per juta (PPM) yang diambil sejak operasi pembersihan dimulakan.

Bagaimanapun, menurutnya tempoh pemantauan minima selama 15 hari lagi bermula Selasa akan dikekalkan bagi memastikan kualiti udara di kawasan itu dijamin selamat.

"Kita juga turun ke lokasi ini tanpa sebarang perlindungan dan penutup muka, untuk menunjukkan keyakinan kepada rakyat bahawa kawasan ini sudah selamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi utama pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Saintifik, Prof Dr Abdul Rahim Mohd Yusoff dan Pengarah Teknikal 5E Resources Sdb Bhd, N Shankar.

Bee Yin berkata, sebanyak 900 tan metrik bahan tercemar dibawa keluar daripada sungai terbabit ketika kerja pembersihan dilakukan.

"Kesemua 900 tan metrik ini bukan semata-mata sisa toksik tetapi ia adalah tanah yang tercampur dengan bahan tercemar.

"Bahan-bahan ini juga dikumpulkan dan disimpan (seal) secara selamat, jadi penduduk tidak perlu risau dengan keadaan yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Shankar berkata, proses membawa keluar bahan-bahan tercemar itu akan mengambil masa tetapi berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Sekarang ini, kerja-kerja pemindahan bahyan ini sedang dibuat, ia ambil masa sedikit sebab kita tengok keadaan laluan, ada jalan sempit lori kita susah masuk.

"Selain itu, kita juga lalu kawasan kampung, jadi kita mahu proses pemindahan ini dilakukan dengan cermat dan sistematik," katanya. - Sinar Harian.

Yeo Bee Yin, Sungai Kim Kim

Artikel Lain