Wow! Terkejut orang Korea tengok gadis Malaysia busking di Seoul, "dia terpegun dan kata 'daebak'..." - Viral | mStar

Wow! Terkejut orang Korea tengok gadis Malaysia busking di Seoul, "dia terpegun dan kata 'daebak'..."

Afrina sedang mengikuti pengajian bahasa Korea di Ewha Womans University. Foto ihsan Afrina Khairunnisa.

SEKALI dengar suaranya persis penyanyi wanita popular tanah air, Shila Amzah tetapi dia sebenarnya seorang gadis biasa yang gemar menyanyi terutamanya lagu-lagu K-Pop.

Kelunakan suara Afrina Khairunnisa Mohd Apandi dan kefasihannya menyanyikan lagu Some nyanyian kumpulan KPOP Bolbbalgan4 ketika busking di tepi jalan di Seoul baru-baru ini berjaya menarik perhatian netizen.

Rata-rata memuji keberanian dan keyakinan gadis tersebut menyanyikan lagu bahasa asing itu selepas video busking berkenaan dikongsi rakannya, Khayrin Iriessa di Twitter baru-baru ini.

Video tersebut mendapat 93,800 tontonan di Twitter dan diulang kicau lebih 8,000 kali serta mendapat lebih 9,000 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya rasa dia main redah je" - Ibu terkejut anak 'ah yeah ah yeah' atas pelamin, berangan Blackpink

Afrina Khairunnisa atau lebih mesra disapa Icha baharu sahaja tiba di Korea Selatan pada 1 Mac lalu untuk mengikuti program bahasa Korea selama enam bulan di Ewha Womans University, Korea Selatan.

Gadis berusia 19 tahun itu ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia tidak menduga video nyanyiannya menjadi tular kerana dia sekadar mahu memenuhi permintaan rakan-rakannya.

Afrina turut meminati muzik dan drama K-Pop.

"Pada waktu itu pelajar-pelajar Malaysia di Ewha Womans University dan pelajar-pelajar (tajaan) Jabatan Perkhidmatan Awam buat makan-makan bersama dekat sebuah kedai di Sinchon, Seoul.

"Dalam pukul 9.30 malam kami balik ke universiti masing-masing. Kebetulan universiti kami dekat jadi kami buat keputusan untuk pulang jalan kaki. Dalam perjalanan pulang tu kami terserempak dengan sekumpulan lelaki Korea sedang busking.

"Saya tiada niat pun sebenarnya nak menyanyi pada waktu tu tapi kawan-kawan saya suruh saya cuba busking sebab saya memang jenis suka menyanyi. Jadi saya pun cuba dan tak sangka video itu tular," katanya.

Biasanya saya nyanyi karaoke saja, tak pun nyanyi untuk suka-suka. Mula-mula tu OK sebab cuma kawan-kawan yang tengok tapi bila tiba-tiba orang Korea ramai datang kerumun saya terus berdebar.

AFRINA KHAIRUNNISA

Menurut Icha, dia berasa gemuruh memandangkan itu adalah kali pertama dia menyanyikan lagu Korea di khalayak ramai.

"Kalau ramai perasan ada part suara saya menggeletar kerana saya amat berdebar pada waktu itu. Tambahan pula cuaca amat sejuk iaitu kira-kira 3°C.

"Biasanya saya nyanyi karaoke saja, tak pun nyanyi untuk suka-suka. Mula-mula tu OK sebab cuma kawan-kawan yang tengok tapi bila tiba-tiba orang Korea ramai datang kerumun saya terus berdebar," katanya.

Afrina bersama rakan-rakan dan keluarga mereka semasa di Seoul baru-baru ini.

Gadis berasal dari Kerteh, Terengganu ini berkata dia tiada masalah untuk menyanyikan lagu itu kerana ia merupakan lagu kegemarannya.

"Ia memang lagu kegemaran saya, jadi saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu itu. Saya juga hafal lirik lagu itu.

"Memandangkan saya tengah belajar bahasa Korea, jadi sebutan itu mudah bagi saya," katanya yang turut meminati kumpulan BTS dan penyanyi IU.

Dalam pada itu, Icha turut meluahkan rasa terharu dengan penerimaan masyarakat Korea terhadap dirinya yang menyanyikan lagu bahasa mereka.

"Sewaktu saya tengah menyanyi ada seorang pelajar perempuan Yonsei University berdiri di sebelah kawan saya. Dia terpegun dan kata 'daebak' (bagus) dan orang ramai bagi tepukan.

"Saya amat terharu. Saya sendiri pun tak sedar ramai orang Korea tengah tengok saya menyanyikan lagu bahasa mereka," katanya.

Afrina dan sebahagian pelajar dari Malaysia lain yang menyambung pengajian di Seoul.

Ditanya mengenai komen netizen yang menyamakan suaranya seperti penyanyi Shila Amzah, Icha berterima kasih atas pujian itu.

"Terima kasih. Itu pandangan masing-masing. Tapi saya tak rasa pun suara saya macam dia (Shila Amzah). Bagai langit dan bumi," katanya dalam nada berseloroh.

Selepas video nyanyiannya tular, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata dia menerima ramai friend request di Instagram.

"Ramai juga dalam 400 request tapi saya tak terima semua dan terpaksa tapis dulu. Saya kesal juga sebab gambar saya digunakan beberapa blog tanpa persetujuan saya," katanya.

Afrina Khairunnisa , KPOP , busking

Artikel Lain