suria

Mufti Perlis dakwa kereta terbakar angkara ‘pengganas’

Kereta Mohd Asri yang terbakar di bahagian enjin dan tayar kiri.

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa pihak berkuasa mencari 'pengganas' yang didakwa membakar kereta beliau.

Menerusi satu kenyataan di Facebook pada Sabtu, Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza berkata, dua individu dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung insiden kereta rasminya jenis Honda Accord dibakar.

"Setelah saya melihat CCTV, maka saya menyimpulkan ini merupakan perbuatan pengganas yang boleh mengancam nyawa. Marilah kita berdoa agar dua individu yang disebutkan oleh Ketua Polis Perlis yang dirakam oleh CCTV itu segera ditangkap.

"Sekalipun jika selepas ini saya akan menaiki Kancil kerana kereta dibakar, tapi inyaAllah semoga Allah SWT bantu, semangat saya tetap singa," kata Mohd Asri yang merujuk kepada kereta Perodua Kancil.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Dr Maza terbakar di kediaman sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: “Biasa kereta di pejabat, takdir Allah saya ‘parking’ di rumah” – Mufti Perlis

Beliau turut menghargai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus-lumus sejak Jumaat.

"Pasukan forensik Bomba dari Perlis dan Putrajaya baru sahaja meninggalkan kawasan rumah setelah masuk waktu Subuh. Semalaman mereka bertungkus lumus," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Mohd Asri pada mulanya menolak insiden itu disebabkan tindakan sabotaj.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad bagaimanapun berkata, terdapat kemungkinan kebakaran yang memusnahkan kereta Mohd Asri angkara sabotaj.

Kebakaran yang berlaku pada 5.45 pagi Jumaat, membakar enjin dan tayar kiri kereta berkenaan.

Cermin kereta yang diletakkan di rumah Mohd Asri di Kangar, Perlis itu juga pecah. - The Star

Artikel Berikut

Artikel Lain