suria

Serangan Christchurch: Usahawan terkejut lihat diri sendiri 'dimatikan' di luar negara

Syima terkejut apabila foto miliknya menjadi tular di beberapa negara.

BERITA kematian palsu bukanlah sesuatu yang pelik, malah ia bukanlah asing bagi golongan selebriti di seluruh dunia.

Terbaharu, seorang usahawan kecantikan popular dari Malaysia menjadi tular setelah fotonya dikaitkan dengan insiden serangan masjid di Christchurch, New Zealand.

Menerusi laporan media dari Turki, Arab Saudi, Indonesia dan beberapa negara lain, Siti Nor Hasyimah Azmi, 25, dikatakan terkorban dalam serangan yang berlaku pada Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan NZ: Mohd Haziq disahkan meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan masjid NZ: Pengebumian mangsa terkorban termasuk Haziq diteruskan hari ini

Lebih dikenali sebagai Syima dalam kalangan pengguna Instagram, usahawan itu ternyata berang dengan berita palsu itu yang dikaitkan dengan dirinya.

Bercerita kepada mStar Online, Syima mengakui terkejut apabila menerima banyak kiriman mesej berhubung penularan berita palsu berkenaan.

“Terkejut, memang marah. Sebab sah-sah orang buat cerita, cerita tu pula tentang seorang korban pembunuhan. Fitnah dan tak betul.

“Ramai yang mesej termasuk kawan dan keluarga. Mereka sebak tengok gambar saya, ingatkan saya betul-betul syahid di New Zealand.

“Keluarga saya dekat luar negara yang maklumkan pasal benda ni. Mereka kata di sana siap masuk surat khabar,” katanya sewaktu dihubungi pada Khamis.

Antara laporan palsu mengenai Syima yang diterbitkan media luar negara termasuk di Indonesia dan negara timur tengah.

Menerusi beberapa laporan dalam bahasa Arab dan Indonesia, foto yang memaparkan wajah Syima digunakan secara terbuka tanpa dikaburkan.

Malah, dia juga disebut sebagai penghafaz al-Quran yang menjadi salah seorang daripada mangsa terkorban.

Lebih teruk, foto miliknya disunting dan diletakkan bersebelahan foto seorang wanita dalam keadaan tertiarap di atas jalan.

Dalam pada itu, Syima turut menasihati mana-mana pihak agar tidak mudah percaya dengan penyebaran berita seperti ini.

Syima terkejut apabila fotonya tiba-tiba tular di luar negara.

Malah, dia juga kurang senang seandainya isu sensitif seperti insiden serangan di New Zealand menjadi bahan permainan segelintir pihak.

“Syima nak nasihat kepada netizen agar siasat dahulu sebelum percayakan sesuatu. Mungkin orang yang buat tu tak berniat apa-apa kecuali nak lariskan berita.

“Tapi isu sensitif pasal agama tak sepatutnya dipermainkan, lebih-lebih lagi kes di Christchurch.

“Kita patut simpati, bukannya ambil kesempatan,” ujar Syima yang memiliki sejuta pengikut di Instagram.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain