"Abah... Faris rindu sangat-sangat", remaja ini tak sangka kejutan surat tulisan tangan rupanya satu petanda - Viral | mStar

"Abah... Faris rindu sangat-sangat", remaja ini tak sangka kejutan surat tulisan tangan rupanya satu petanda

Kenangan... Muhammad Faris bersama arwah bapanya, Allahyarham Abdullah Majid. Foto Instagram kepengsss

PETALING JAYA: Beberapa gambar yang menunjukkan kemesraan dan keakraban pasangan bapa dan anak ini tular di media sosial sejak Rabu.

Siri gambar tersebut bermula dengan ungkapan "Hai Abah" pada gambar di mana kedua-duanya tersenyum sambil mempamerkan wajah yang begitu ceria.

Namun jika mengikuti turutan gambar-gambar tersebutnya pasti mengundang sebak apabila ia sebenarnya adalah luahan rasa seorang anak selepas bapa kesayangannya dijemput Ilahi.

"Hai Abah... Faris cuma... Nak cakap... Yang Faris... Rindu Abah... Sangat sangat...  Maafkan Faris kalau Faris tak sempat jadi yang terbaik untuk Abah masa Abah hidup... Semoga kita dapat bertemu di sana," menurut luahan berdasarkan lapan gambar tersebut.

Sebahagian daripada gambar-gambar kenangan bersama arwah bapa yang dimuat naik di laman sosial instagram kepengsss.

Bercakap kepada mStar Online, remaja berkenaan, Muhammad Faris Izwan Abdullah memberitahu, gambar-gambar tersebut dimuat naik di laman sosial Instagramnya sebagai mengingati setahun pemergian bapanya, Allahyarham Abdullah Majid yang meninggal dunia akibat sakit jantung.

Mengakui amat merindui arwah bapanya, Faris yang berusia 18 tahun berkata, banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama insan yang tersayang itu.

"Saya ingat lagi ketika di sekolah rendah, Abah bawa saya naik motor nak ke sebuah karnival belon udara panas, mungkin di Putrajaya. Jauh juga rasa naik motor tu. Abah memang teruja nak bawa saya, nak bagi saya naik belon udara panas tu. 

"Pada mulanya dia ingatkan percuma, tapi bila sampai rupa-rupanya kena bayar. Abah pula tak cukup duit, jadi abah kata 'tak apalah, kita tengok dari luar saja. Abah nampak gembira saja, tapi saya tahu mesti dalam hatinya sedih sebab hajatnya tak sampai. Kalau Abah masih ada, saya nak bawa dia naik belon udara panas," katanya ketika dihubungi, malam Rabu.

Muhammad Faris yang berasal dari Ampang, Selangor ini mengakui dirinya seorang yang nakal semasa di bangku sekolah, tetapi arwah bapanya tidak pernah berkeras dengannya, sebaliknya menggunakan kasih sayang dalam menegur dan membimbingnya.

"Abah seorang yang penyayang, dia juga seorang yang suka bergurau dan membuat jenaka serta suka menolong orang dalam kesusahan," katanya.

Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik ini juga mengimbas kembali saat dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.

Tanpa disangka-sangka, kata Muhammad Faris, dia menerima satu kejutan berupa surat yang ditujukan kepadanya, ditampal pada dinding dekat meja mengulang kaji pelajaran di rumahnya.

"Walaupun abah seorang yang penyayang, tapi dia susah nak tunjuk dengan kata-kata. Tapi masa saya tengah ambil SPM, dia bagi saya surat memberi kata-kata semangat.

"Abah nasihat saya supaya belajar rajin-rajin dan mencontohi abang dan kakak saya yang lain, yang dah berjaya ada pendidikan tinggi dan kerjaya masing-masing," katanya.

Surat daripada arwah Abah menjadi kenangan terakhir buat Faris. Foto ihsan Muhammad Faris

Muhammad Faris yang kini menyambung pengajian dalam Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, bapanya bagaimanapun tidak sempat melihat slip keputusan SPM beliau kerana terlebih dahulu meninggalkan mereka sekeluarga.

"Abah meninggal dunia selepas seminggu saya selesai jawab SPM. Tapi, saya reda dengan pemergian Abah. Tak sangka kejutan yang saya dapat masa SPM adalah surat pertama dan juga terakhir daripada Abah. Saya akan simpan surat ni sampai bila-bila kerana inilah kenangan terakhir saya bersama Abah.

"Abah... anak Abah kini dah masuk universiti. Faris akan pegang nasihat Abah untuk belajar rajin-rajin dan berjaya suatu hari nanti," katanya, sambil menambah bercita-cita untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Muhammad Faris Izwan Abdullah , Abah , SPM , UiTM

Lebih Artikel

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta