"Tak semua lelaki pengotor", dekorasi DIY pelajar ini kejutkan ramai teman sekampus - Viral | mStar

"Tak semua lelaki pengotor", dekorasi DIY pelajar ini kejutkan ramai teman sekampus

Transformasi sebelum dan selepas yang menelan belanja sekitar RM600.

PETALING JAYA: Umumnya, ramai yang bertanggapan keadaan bilik pelajar lelaki di asrama pastinya bersepah, kotor dan berbau kurang enak.

Namun, telahan itu ternyata tidak benar dan ia dibuktikan dengan beberapa foto suasana bilik seorang pelajar lelaki yang tular di laman Twitter.

Penghuni bilik itu, Zushyan Magen berkata, dekorasi bilik berkenaan ternyata membantu dirinya dalam mencari mood untuk mengulangkaji pelajaran.

"Tak semua lelaki pengotor, dengan dekorasi macam ni, hilang segala kepenatan bila pulang ke bilik.

"Nak belajar pun lebih bersemangat. Kadang-kadang kalau ada perbincangan dengan kumpulan pun saya buat kat bilik," ujarnya penuntut berusia 22 tahun sewaktu dihubungi mStar Online pada Rabu.

Menurut Zushyan, dekorasi itu membuatkan dirinya lebih tenang setelah seharian berhadapan dengan projek dan tugasan pembelajaran.

Menurut penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, dia mula membuat transformasi untuk bilik berkenaan, awal November lalu.

Tambah Zushyan, dia menambah beberapa aksesori, lampu, langsir, karpet dan kertas hiasan dinding dengan anggaran kos sekitar RM600.

"Saya ubah secara berperingkat, tapi kebanyakannya saya beli dari IKEA atau Kaison. Konsepnya pula lebih kepada tropika, bila tengok tenang je.

"Saya pun tak risau kena tukar bilik sebab sekarang tahun akhir pengajian. Nanti dah habis semester, saya bawa balik semua, tinggalkan kertas hiasan dinding sahaja," katanya lagi.

Menurut Zushyan, dia juga membuat dekorasi berkenaan kerana ditempatkan berseorangan di bilik itu.

Ramai yang tidak menyangka bilik ini dihuni oleh pelajar lelaki.

"Kalau sebelum ni susah sikit nak hias, sebab ada rakan sebilik, tapi semester ni saya tinggal seorang je dalam bilik ni.

"Masa buat transformasi hari tu, seorang sahaja kawan saya yang tahu. Bila dah siap, yang lain pun agak terkejut. Mereka cakap macam kat rumah," ujar Zushyan lagi.

Foto dekorasi bilik pelajar yang berasal dari Skudai, Johor itu menjadi tular setelah ia dimuat naik ke laman Twitter oleh rakannya.

Posting berkenaan menerima lebih 5,000 ulang kicau (Retweet) sejak ia dimuat naik, Ahad lalu.

Rata-rata netizen yang menghujani posting berkenaan turut meluahkan kekaguman mereka atas inisiatif dan kreativiti Zushyan menghias bilik inapannya.

"And owner dia laki aku baru perasan. Hm bagusnya kalau bakal laki aku macam ni," tulis @nurafifaiqah.

"Kalau begini gaya, kalau weekend member ajak keluar aku kata aku busy padahal duk lepak dalam bilik nan indah," tulis @wanniii_ pula.

Zushyan Magen , dekorasi

Lebih Artikel

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta