HAMSTER yang 'diculik' dari sebuah kedai haiwan di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu telah dipulangkan pada petang Isnin. Pengusaha kedai haiwan, Muhammad Nur Aiman bagaimanapun mendakwa hamster tersebut dipulangkan dengan cara disifatkan sebagai biadab. Menurut Aiman, dia dimaklumkan pekerjanya bahawa seorang lelaki datang ke premis dan meletakkan semula hamster berkenaan tanpa bertemu dengannya.“Berkaitan hantaran terbaharu isu hamster diambil, saya dimaklumkan oleh pekerja saya dia telah pulangkan hamster tersebut dengan cara sangat biadab.“Saya sertakan video. Laporan polis akan menyusul kemudian. Orang ajak selesai cara baik, cara musibat macam ini dia bagi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ‘culik’ hamster depan isteri dan anak, pengusaha kedai haiwan beri tempoh seminggu untuk pulangkan - “Harga tak mahal mana pun”Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, seorang lelaki dilihat mengeluarkan hamster sebelum memasukkannya ke dalam sangkar.Namun, individu yang memulangkan hamster tersebut dipercayai wakil kepada lelaki yang mengambil haiwan berkenaan. Hamster itu dipulangkan selepas lelaki terbabit menghubungi Aiman dan memberikan alasan tidak dilayan pekerja kedai sebagai punca dia mengambil haiwan berkenaan.Dalam mesej yang dikongsikan, lelaki itu turut mengakui perbuatannya salah selain memohon maaf kepada Aiman.“Aku pulangkan hamster kau tapi kau padam video aku semua sekali.“Aku ada tanya pekerja kau, aku nak beli, tapi pekerja kau sombong, tak layan. Apa-apa pun aku minta maaf, apa aku buat ini memang salah.“Aku ambil ini sebab pekerja kau tak nak layan aku bila aku tanya. Aku harap masih boleh bincanglah,” katanya.Sebelum ini, Aiman memaklumkan dia tidak berniat untuk bergaduh atau bertengkar dengan lelaki berkenaan, sebaliknya mahu menyelesaikan isu tersebut secara baik.Dia juga mengajak lelaki itu datang ke premisnya untuk berbincang sambil membawa semula hamster berkenaan.“Jangan jadikan alasan staf tak layan sebagai punca abang ambil barang itu tanpa kebenaran.“Kalau abang pergi pasar raya dan staf tak layan, adakah abang akan ambil barang milik pasar raya itu?” katanya.mStar pada Ahad melaporkan Aiman meminta lelaki terbabit memulangkan hamster yang didakwa diambil dari premisnya di Hyper Pets Centre, Pasir Gudang pada Sabtu.Aiman berkata, cara lelaki itu mengambil haiwan berkenaan tidak wajar, lebih-lebih lagi perbuatan tersebut dilakukan di hadapan isteri dan dua anaknya.Menerusi rakaman CCTV yang dikongsikan sebelum ini, lelaki berkenaan dilihat mengambil hamster dari kandang di atas rak sebelum memasukkannya ke dalam beg yang disandang.Perbuatan itu turut disaksikan isteri dan dua anaknya sebelum mereka sekeluarga meninggalkan premis berkenaan.