HUTANG Kerajaan Persekutuan meningkat 5.9 peratus kepada RM1.321 trilion pada 2025, menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2026.Jumlah itu bertambah sebanyak RM73.162 bilion berbanding RM1.248 trilion pada 2024, manakala caj khidmat hutang turut meningkat kepada RM53.711 bilion. Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin itu bagaimanapun menunjukkan prestasi kewangan kerajaan secara keseluruhan bertambah baik apabila defisit fiskal mengecil kepada 3.7 peratus berbanding 4.1 peratus pada 2024.Menurut laporan tersebut, caj khidmat hutang naik sebanyak RM3.23 bilion atau 6.4 peratus, merangkumi 16.2 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus berjumlah RM330.776 bilion pada 2025.Caj itu meliputi faedah bagi instrumen pinjaman Kerajaan Persekutuan, diskaun Bil Perbendaharaan, bayaran keuntungan bagi Terbitan Pelaburan Kerajaan serta fi pengurusan pinjaman dalam dan luar negara.Bahagian caj khidmat hutang daripada perbelanjaan mengurus menunjukkan trend meningkat, daripada 14.1 peratus pada 2022 kepada 16.2 peratus pada 2025.Dalam masa sama, defisit kerajaan berkurang sebanyak RM3.878 bilion, sekali gus menurunkan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).Kutipan hasil pula meningkat sebanyak RM11.451 bilion kepada RM336.069 bilion berbanding RM324.618 bilion pada 2024.Dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM330.776 bilion, kerajaan merekodkan lebihan hasil sebanyak RM5.293 bilion, meningkat RM2.184 bilion berbanding RM3.109 bilion pada tahun sebelumnya.Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan turut berkurang sebanyak RM1.118 bilion atau 10.6 peratus kepada RM9.420 bilion, berbanding RM10.538 bilion pada 2024.Sementara itu, pinjaman baharu menurun 8.2 peratus kepada RM185.577 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM16.671 bilion berbanding RM202.248 bilion pada 2024. -The Star