suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

JPJ keluarkan 35 notis tunggakan RM314 juta sebelum gantung perkhidmatan MyEG, Zetrix AI

Perkhidmatan MyEG digantung disebabkan tunggakan RM314 juta.

PERKHIDMATAN kutipan bayaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd digantung susulan tunggakan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta yang belum diserahkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tunggakan itu terkumpul antara 19 Mei hingga 30 September tahun ini apabila hasil kutipan tidak dipindahkan ke Akaun Kutipan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.

Bercakap pada sidang media di kementeriannya pada Isnin, Loke turut menafikan dakwaan bahawa kementerian dan JPJ tidak mengambil tindakan selama tiga tahun.

"Angka tiga tahun itu tidak tepat. Tunggakan mula terkumpul pada Mei tahun ini, iaitu hanya beberapa bulan, bukannya tiga tahun.

"Sebelum ini memang ada tunggakan sekali-sekala, tetapi pihak terbabit biasanya menjelaskannya selepas menerima notis peringatan," jelasnya.

Menurut Loke, kementerian dan JPJ sudah mengeluarkan 35 notis peringatan, menetapkan tarikh akhir pembayaran serta mengadakan empat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan.

Malah pada 21 Ogos lalu, syarikat berkenaan menyerahkan cek bertarikh hadapan 30 September bernilai RM231 juta bagi menjelaskan tunggakan ketika itu.

Bagaimanapun, cek tersebut tidak diproses pihak bank apabila dikemukakan pada 30 September atas arahan syarikat itu sendiri.

"Susulan itu, kementerian dan JPJ terpaksa mengambil langkah drastik dengan menggantung perkhidmatan pembayaran melalui saluran MyEG dan Zetrix AI berkuat kuasa 5 Oktober," tegasnya.

Dalam pada itu, Loke memberi jaminan penggantungan tersebut tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada orang ramai.

Urus niaga masih boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter fizikal, kiosk serta platform rasmi lain.

Tambah beliau, bagi memudahkan pembayaran saman oleh bukan warganegara Malaysia di sempadan Malaysia-Singapura, kaunter bergerak JPJ akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

Sementara itu, calon Ujian Teori KPP01 boleh menduduki ujian berkomputer secara terus di 85 institut memandu yang diluluskan JPJ, tanpa melalui pusat yang sebelum ini dikendalikan MyEG.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kementerian dan JPJ juga akan memulakan tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan RM314 juta.

"Kerajaan memandang serius ketidakpatuhan dalam pengurusan dan penyerahan dana awam. 

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menunaikan tanggungjawab melibatkan wang kerajaan," katanya.

Artikel Lain