suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Awas ancaman rabies dekat sempadan! 18 anjing liar ditangkap untuk saringan di Kedah

Anjing yang menghidap rabies boleh membahayakan nyawa manusia. -Gambar hiasan

SUSULAN insiden tragis seorang lelaki maut akibat digigit anjing liar di Changlun, Kedah, pihak berkuasa tempatan bertindak pantas menangkap sebanyak 18 ekor anjing terbiar bagi menjalani ujian saringan rabies.

Walau bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan ujian makmal berkenaan.

Menurut DVS, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang melibatkan lelaki berusia 31 tahun itu daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah pada 24 September.

Susulan itu, DVS Kedah bersama Majlis Perbandaran Kubang Pasu kemudian menjalankan operasi di sekitar lokasi kejadian dan menangkap 18 ekor anjing terbiar sehingga 28 September.

"DVS Kedah sedang menjalankan siasatan lanjut dan menunggu keputusan makmal bagi mengesahkan sama ada rabies wujud dalam populasi anjing di negeri ini," menurut kenyataan itu pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut akibat rabies, kes pertama di Kedah sejak 1998

Untuk rekod, Changlun terletak dalam zon penampan rabies sejauh 50 kilometer dari sempadan Thailand. 

Susulan itu, pemantauan dan pengambilan sampel di kawasan sempadan turut dipertingkatkan.

Setakat Ogos, 504 anjing peliharaan di Kubang Pasu telah diberi vaksin rabies, manakala jumlah bagi seluruh Kedah ialah 1,349 ekor. 

Kesemua 164 sampel pemantauan rutin yang diambil di negeri itu dalam tempoh sama menunjukkan keputusan negatif.

DVS menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri anjing terbiar, sakit atau menunjukkan tingkah laku luar biasa.

Individu yang digigit atau dicakar haiwan disyaki membawa rabies perlu mencuci luka dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit sebelum segera mendapatkan rawatan perubatan, walaupun luka kelihatan kecil.

Artikel Lain