BERANG selepas bayi dalam pangkuan isterinya terjaga akibat bunyi ekzos ekstrem sebuah motosikal, seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila menyerang penunggang di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, Mersing, Johor.Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 1 pagi 25 September itu selepas video kejadian berdurasi satu minit 45 saat tular di laman sosial. "Lelaki tempatan berusia 29 tahun itu berang apabila mendakwa mangsa berusia 19 tahun memotong kenderaan dinaikinya dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi dipangku isterinya terjaga dan menangis."Suspek kemudian bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan. Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada pipi kiri dan perut," katanya pada Selasa.Abdul Razak berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.Katanya, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor untuk tindakan selanjutnya."Suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Mersing pada Rabu."Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.