suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kemelut Negeri Sembilan makin ‘panas’, Exco dihalang masuk pejabat

Ismail ketika sidang media berhubung isu larangan Exco memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri pada Khamis.

KEMELUT perlembagaan semakin panas apabila kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri di Seremban, sejak Rabu.

Larangan itu bukan sahaja membabitkan akses ke pejabat, malah turut menghalang Exco daripada menjalankan tugas rasmi mereka.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pihak berkuasa secara verbal, tanpa sebarang arahan bertulis dikeluarkan setakat ini.

"Saya dimaklumkan bahawa ada perintah larangan ataupun arahan yang melarang ahli-ahli Exco memasuki pejabat masing-masing.

"Bukan setakat tidak boleh memasuki pejabat Exco, tetapi tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai ahli Exco," katanya.

Ismail berkata demikian ketika sidang media di sebuah hotel di Seremban pada Khamis.

Sehubungan itu, Ismail memohon pihak berkuasa berkaitan supaya mempertimbangkan semula arahan berkenaan dengan segera, termasuk meneliti asas serta skop larangan yang dikenakan ketika pertikaian masih belum dimuktamadkan.

Katanya, semakan itu penting bagi memastikan urusan rakyat dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas.

"Permohonan ini dibuat melalui saluran yang tertib tanpa menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab keselamatan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertemuan MB Negeri Sembilan, Exco dengan Tunku Nadzaruddin dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bantah tindakan MB, Exco Negeri Sembilan turunkan takhta Tuanku Muhriz… Anggap biadab dan tidak bertamadun  

"Saya menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian yang sedang berlaku," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ismail menegaskan kerajaan negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi Diraja Negeri Sembilan serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Ismail turut menjelaskan bahawa beliau selaku Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau menasihati berhubung pemberhentian mana-mana Exco seperti diperuntukkan di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Justeru, beliau menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan perlu meneruskan tanggungjawab masing-masing seperti biasa.

Beliau menegaskan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri perlu dipastikan dan kepentingan rakyat mesti terus diutamakan.

Menurut Ismail, larangan berkenaan berpotensi menjejaskan pentadbiran negeri sekiranya Exco tidak dapat memasuki pejabat, mengadakan mesyuarat atau melaksanakan tugas rasmi seperti kebiasaan.

Beliau berpandangan keadaan itu seolah-olah menafikan hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan daripada kerajaan negeri yang sah dipilih.

"Bagi saya, ini satu perkara yang amat tidak wajar kerana tidak ada perintah mahkamah, tidak ada arahan bertulis dan sebagainya.

"Sekiranya ada pemecatan dan sebagainya, mestilah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan di mana salah satu daripada perkaranya ialah pemecatan Exco mestilah atas nasihat atau pandangan oleh Menteri Besar," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri ketika ini merupakan kerajaan yang sah dipilih rakyat, manakala pelantikan barisan Exco juga adalah sah.

Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan beliau sendiri tidak berdepan sebarang sekatan untuk memasuki pejabatnya di Wisma Negeri.

Sebaliknya, arahan larangan berkenaan hanya melibatkan kesemua Exco negeri itu.

Artikel Lain