suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai tiga rumah bernilai RM302,000

Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes tuduhan rasuah terhadap Adi Azuan.

BEKAS Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM302,000 membabitkan kos pengubahsuaian rumah.

Adi Azuan, 56, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud pada Khamis.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh dalam kapasitinya sebagai COO TH didakwa menerima suapan untuk dirinya berupa kos pengubahsuaian tiga buah rumah masing-masing bernilai RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.

Suapan itu didakwa diterima daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail, yang diketahui tertuduh mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di tiga kediaman berasingan di Shah Alam, Kota Damansara dan USJ 2 pada 7 Mac 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memaklumkan mahkamah bahawa kes berkenaan membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.

"Kami menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya mahu mengenakan syarat tambahan jaminan," katanya.

Sementara itu, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Adi Azuan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM30,000.

Menurutnya, anak guamnya perlu menanggung empat anak lelaki berusia antara 12 hingga 25 tahun yang masih belajar, termasuk anak sulung yang menuntut di universiti.

Pihak pembelaan turut memohon supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

"Sekiranya dia perlu menggunakan pasport, dia boleh menulis kepada mahkamah," kata Awang Kerisnada.

Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes.

Adi Azuan sebelum ini dijadualkan hadir ke mahkamah pada 3 September lalu, namun prosiding ditangguhkan selepas dia dimasukkan ke hospital bagi menjalani prosedur angiogram. -The Star

Artikel Lain