POLIS kini giat mengesan identiti penunggang motosikal yang didakwa melarikan diri selepas merempuh dua murid perempuan ketika mereka sedang melintas jalan di hadapan sebuah sekolah rendah di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Rabu.Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan sembilan tahun berkenaan bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan. Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu dan turut meneliti rakaman video berdurasi kira-kira 30 saat yang tular di media sosial."Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa berjalan ke sekolah melalui lintasan pejalan kaki sebelum dirempuh motosikal yang ditunggang individu belum dikenal pasti."Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti penunggang motosikal serta mendapatkan gambaran sebenar kejadian," katanya dalam kenyataan.Nik Aminuddin berkata, kedua-dua mangsa sudah mendapatkan rawatan susulan kejadian tersebut."Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafizi Mansor di talian 017-566 0103.Berdasarkan video tular [Tonton Video], kedua-dua mangsa pada mulanya dilihat melintas jalan mengikut lintasan zebra putih sambil ditemani seorang lelaki dewasa.Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanya memimpin mereka sehingga ke pertengahan jalan sebelum berpatah balik.Ketika itulah motosikal terbabit tiba-tiba memecut dan merempuh dua murid berkenaan.Suasana di lokasi kejadian ketika itu agak sibuk, namun kenderaan lain dilihat prihatin dan memperlahankan kenderaan masing-masing bagi memberi laluan kepada kanak-kanak tersebut.Menerusi video sama, penunggang motosikal berkenaan juga sempat berhenti seketika dan kelihatan memberikan penjelasan kepada pengawal keselamatan sekolah yang bergegas memeriksa keadaan mangsa.