PERTEMUAN Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar yang dijadualkan pada Rabu dibatalkan atas faktor keselamatan.Menurut sumber, pertemuan yang sepatutnya berlangsung di Galeri Tuanku Ja'afar, Seremban pada pukul 9 pagi itu tidak diteruskan selepas pihak berkuasa menasihatkan pihak terlibat berbuat demikian. "Pihak berkuasa menasihatkan supaya pertemuan itu tidak diteruskan atas faktor keselamatan."Apa yang boleh saya sahkan buat masa ini, pertemuan itu dibatalkan," katanya.Turut dijadualkan menghadiri pertemuan berkenaan ialah Undang Johol dan tiga lagi Undang yang kedudukan mereka sedang dipertikaikan, Tunku Besar Tampin serta bekas Dato' Shahbandar Sungei Ujong.Terdapat kehadiran anggota polis dalam jumlah kecil di sekitar galeri, selain sekumpulan individu yang hadir bagi menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.Berdasarkan undangan media yang dikeluarkan sebelum ini, pertemuan berkenaan diadakan sebagai sesi suai kenal bagi mengeratkan hubungan antara Menteri Besar, barisan Exco dan Tunku Nadzaruddin.Beberapa individu dilihat mula berkumpul di Galeri Tuanku Ja'afar seawal pukul 8 pagi, termasuk bekas Undang Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Dr Awaludin Said serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).Bagaimanapun, mereka dilaporkan meninggalkan lokasi sebelum pukul 9 pagi.Tidak lama kemudian, media dimaklumkan pertemuan akan berlangsung di sebuah hotel yang terletak kurang satu kilometer dari galeri berkenaan.Kenderaan milik Menteri Besar, Speaker DUN dan beberapa anggota pentadbiran negeri turut dilihat berada di kawasan hotel berkenaan.Ismail bersama anggota pentadbirannya difahamkan bersarapan di sebuah restoran hotel yang tidak dibenarkan dimasuki petugas media.Bagaimanapun, sekitar pukul 10.30 pagi, Ismail bersama rombongannya meninggalkan hotel berkenaan.Menurut sumber, Ismail dan pasukannya sempat mengadakan pertemuan ringkas bagi membincangkan perkara semasa yang turut dihadiri beberapa wakil rakyat penyokong kerajaan.Pertemuan yang dibatalkan itu berlangsung ketika Negeri Sembilan berdepan pertikaian berhubung institusi diraja negeri.Pada 5 Jun lalu, sekumpulan Undang dan Tunku Besar Tampin mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menolak pengisytiharan tersebut dan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.DKU turut menyatakan perkara berkaitan pemilihan, pelantikan, turun takhta dan pelucutan jawatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang berada dalam bidang kuasanya menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.-The Star