JABATAN Peguam Negara (AGC) berpandangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (PUU) berkuat kuasa serta-merta.Menurut AGC, urusan pelantikan dan penggantungan tugas SUK terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala bagi PUU, bidang kuasa itu terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Jelasnya dalam kenyataan, perkara itu diperuntukkan dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).“Bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula, perlu dinyatakan bahawa pelantikannya hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” kata kenyataan itu pada Selasa malam.Terdahulu, media melaporkan MMKN Negeri Sembilan sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, dan PUU, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dilaporkan berkata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas SUK sehingga pengganti baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara.