KEMELUT pentadbiran Negeri Sembilan terus berlarutan apabila Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri digantung tugas serta-merta. Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan menggantung tugas Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Datuk Muzalmah Mustapha Kamal dibuat menerusi mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Selasa.Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali akan menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga pengganti dilantik Ketua Setiausaha Negara."Tugas memberikan nasihat undang-undang pula akan dilaksanakan Fahmi Adilah sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu dilantik Jabatan Peguam Negara," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.Ismail berkata, notis penggantungan Mohd Zafir akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.Jabatan Peguam Negara pula akan dimaklumkan mengenai penggantungan Muzalmah.Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyatakan sebab kedua-dua pegawai berkenaan digantung.Dalam perkembangan sama, Ismail menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih memegang jawatan masing-masing.Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota berkenaan, kecuali Menteri Besar."Saya juga mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kekal utuh dan sah," katanya sambil memberi jaminan pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa.Tinjauan pada Selasa mendapati beberapa anggota terbabit hadir bekerja seperti kebiasaan.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, beliau akan ke pejabat bagi menjalankan tugas rasmi."Saya akan ke pejabat seperti biasa. Dalam tempoh itu, saya juga akan menghadiri satu pengebumian di Paroi Jaya," katanya.Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Suhaimizan Bizar turut hadir bekerja.Perkara sama dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digitalisasi negeri, Datuk Mohd Asna Amin, manakala beberapa anggota lain gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan.Pada Isnin, Istana Negeri Sembilan memaklumkan pelantikan barisan kesemua Exco berkenaan dibatalkan selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan.Namun titah pembatalan itu diketepikan Ismail dengan menegaskan tindakan menamatkan perkhidmatan anggota pentadbiran tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan satu kesilapan dari sudut undang-undang, bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak mempunyai kesan perundangan.Malah beliau turut memetik Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sekali gus berpendirian bahawa kedudukan kesemua 10 Exco masih sah dan semua anggota akan terus menjalankan tugas seperti biasa.Beliau turut merujuk Perkara 40(1) yang menetapkan kuasa pemerintah dalam urusan pentadbiran hendaklah dilaksanakan berdasarkan nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. -The Star