Ab Rauf ketika mengumumkan pembubaran DUN Melaka pada sidang media di Auditorium Seri Negeri pada Selasa.
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi jaminan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan menjejaskan pentadbiran, penyampaian perkhidmatan awam, kebajikan rakyat mahupun aspek keselamatan negeri tersebut.Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara sehingga pentadbiran baharu dibentuk selepas proses pilihan raya selesai. Malah tegasnya, segala urusan akan dilaksanakan berlandaskan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang sedang berkuat kuasa."Sepanjang tempoh ini, keutamaan kita adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas dan kepentingan rakyat terus terpelihara."Negeri akan terus ditadbir dengan baik, perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan kami," katanya dalam sidang media di Auditorium Seri Negeri pada Selasa.ARTIKEL BERKAITAN: DUN Melaka bubar berkuatkuasa Rabu, beri laluan PRN-16Ab Rauf berkata, semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing secara profesional.Mengulas kemungkinan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan calon sedia ada serta menjalinkan kerjasama dengan parti lain dalam pilihan raya akan datang, Ab Rauf berkata perkara itu hanya akan diumumkan kemudian."Saya tidak mahu menjawabnya sekarang, tunggu dahulu. Saya tidak boleh mendedahkan siapa calonnya kerana banyak faktor perlu diambil kira.“Saya akan mengumumkannya selepas semua perbincangan dimuktamadkan," ujarnya.Untuk rekod, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 diadakan pada 20 November 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober 2021.Empat wakil rakyat terbabit ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).Tempoh DUN Melaka sepatutnya berakhir pada 27 Disember depan.