Nadzim (kiri) dan Caprice mendesak tindakan tegas terhadap platform media sosial yang menjual vape 'piu piu'. -EZARD FAROUQ/The Star
JUALAN cecair vape yang dicampur bahan terlarang kini semakin meruncing apabila ia direka sedemikian rupa untuk mudah 'menyelinap' ke tangan golongan muda menerusi platform dalam talian.Lebih membimbangkan, bahan terlarang yang dikenali sebagai 'piu piu' ini didakwa sangat mudah diakses oleh pelajar sekolah dan remaja, sekali gus mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan serta masa depan generasi muda. Justeru, penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice, serta Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap platform media sosial yang didakwa menjadi saluran kepada penjualan produk berkenaan.Menurut Caprice, platform media sosial perlu dipertanggungjawabkan kerana mempunyai teknologi dan keupayaan untuk mengesan serta menyekat kandungan tertentu yang melanggar garis panduan."Kita kena tegas mendesak platform-platform ini agar lebih bertanggungjawab. Platform media sosial ini makin lama makin canggih, pengesanan wajah (face detection) dan sebagainya."Bagi sesetengah platform, jika guna perkataan tertentu, ia mudah sahaja untuk diturunkan atau disekat atas faktor hate speech."Tetapi bagaimana produk haram jadah boleh diniagakan secara dalam talian? Kita perlu beri tekanan kepada kerana mereka perlu bertanggungjawab," katanya.Caprice menggesa ibu bapa tampil ke depan untuk memberi tekanan kepada platform media sosial. Caprice berkata, pendekatan sama seperti yang pernah digunakan dalam kes di Amerika Syarikat mungkin boleh dipertimbangkan bagi memastikan syarikat pengendali platform tidak terlepas daripada tanggungjawab.Penyanyi rap itu merujuk kepada saman yang difailkan oleh 29 negeri di Amerika Syarikat terhadap Meta berhubung ciri-ciri di Facebook dan Instagram yang memudaratkan kanak-kanak, hingga akhirnya membawa kepada syarikat teknologi itu membuat penyelesaian bernilai sehingga AS$16.7 bilion (RM65 bilion).Mengulas lanjut, Caprice menekankan bahawa usaha membanteras ancaman ini turut memerlukan keberanian daripada pihak ibu bapa, terutamanya mereka yang anaknya pernah terjebak."Kadang-kadang ibu bapa malu sebab anak dia ambil 'piu piu'. Susah sebenarnya nak yakinkan mak ayah untuk tampil ke depan."Kita perlukan mangsa untuk ke depan supaya kita boleh tekan platform bagi menyelamatkan anak muda."Jadi apa yang kita nak lawan ini adalah sekat saluran, sebab saluran iaitu platform itu yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, Kuala Lumpur.ARTIKEL BERKAITAN: Gadis terketar-ketar macam 'zombi' lepas hisap vape, pakwe ketakutan hanya mampu rakam kejadianSementara itu, Nadzim berkata, usaha membanteras penjualan dadah secara dalam talian perlu dilakukan secara menyeluruh dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli politik, pihak berkuasa, ibu bapa, sekolah dan masyarakat."Kita kena go all out. Dapatkan sokongan ahli politik. Kita ada lebih 200 Ahli Parlimen, apabila sama-sama bekerja, ia akan ada kuasa tambahan yang boleh membantu banteras isu ini," katanya.Ujar Nadzim, kaedah membanteras penjualan dadah secara dalam talian juga perlu dilihat daripada sudut berbeza berbanding kegiatan pengedaran secara fizikal."Kalau dadah, polis serbu rumah atau lokasi. Kalau jual secara dalam talian, macam mana pula nak cari culprit?"Culprit dia adalah platform. Jadi kena serbu platform," katanya.Nadzim berpendapat penglibatan ahli politik begitu signifikan bagi membanteras penjualan vape 'piu piu' dalam platform media sosial. Nadzim turut mempersoalkan keperluan menunggu sehingga laporan dibuat atau lebih buruk, sehingga berlaku kematian, sebelum tindakan lebih tegas diambil terhadap platform yang menjadi medium penjualan."Mereka (platform) kata tiada aduan dan sebagainya. Takkan kita perlu tunggu orang buat laporan, tunggu orang mati? Kita kena heret mereka," tegasnya.Sementara itu Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar dilaporkan berkata, lebih 6,500 kandungan berkaitan penjualan dadah secara haram dalam talian telah diturunkan daripada platform media sosial sepanjang tahun ini.Difahamkan, kadar pematuhan pengendali platform untuk menurunkan kandungan berkaitan narkotik ialah 100 peratus bagi Telegram, TikTok mencapai 99 peratus manakala Facebook pula 92 peratus.Katanya lagi, tanggungjawab pengendali platform kini semakin penting menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang menggariskan sembilan bentuk kemudaratan, termasuk penjualan dadah dalam talian.Katanya, platform juga perlu memperincikan tindakan yang diambil bagi memastikan kandungan berkaitan tidak dapat diakses pengguna di negara ini menerusi pelan keselamatan dalam talian masing-masing.