TULAR di media sosial sebuah video memaparkan seorang gadis yang dilihat menggigil teruk dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai selepas menghisap rokok elektronik dikenali sebagai ‘Piaopiao’.
Dalam kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Selangor itu, gadis itu kelihatan tidak bermaya, kosong pandangannya dan berkelakuan seakan-akan ‘zombi’.
Video itu turut menunjukkan gadis terbabit rebah dalam keadaan terketar-ketar.
Rakaman kejadian itu dipercayai dibuat oleh kekasihnya menggunakan telefon bimbit tanpa memberi bantuan segera.
"Sepasang kekasih yang tinggal bersama hampir ditimpa tragedi apabila si gadis menjadi ketagih dadah jenis rokok elektronik baharu yang dikenali sebagai Piaopiao.
"Setelah menghisap dadah tersebut, mangsa dilihat menggigil teruk, pandangan kosong dan berkelakuan seperti ‘zombi’.
"Kekasihnya yang ketakutan telah merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit," tulis pemilik video berkenaan di media sosial.
Perkongsian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen terhadap trend penggunaan vape berperisa yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.
"Tak ada sakit, cari sakit. Risau juga jadi macam ni.
"Boleh mati. Saraf kejang, jantung boleh berhenti. Mahu mati cepat dah bosan hidup, teruskan.
"Polis Diraja Malaysia tolong la kesan dan tangkap kedua-dua. Sebagai manusia, kasihan aku mengatasi segala-galannya. Selamatkan mereka ini ya Allah," demikian antara komen netizen.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut dan mStar sedang mendapatkan maklumat lanjut kejadian.