MALANG tidak berbau.
Seorang wanita muda berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dihempap oleh sebuah lori dari arah bertentangan yang terbalik secara tiba-tiba.
Video kejadian itu dikongsi oleh ibu mangsa menerusi akaun TikTok Hasnia7210.
Rakaman papan pemuka (dashcam) menunjukkan lori yang dipenuhi kayu terbalik ke arah tengah jalan, menyebabkan muatan terkena kereta dipandu mangsa.
Selain video papan pemuka kereta, ibu mangsa turut berkongsi rakaman daripada orang awam di tempat kejadian.
Kedengaran suara mangsa yang terselamat menangis cemas sambil ditenangkan orang awam.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori cerita detik cemas, bagaimana terlanggar anak gajah sampai terpelanting - “Memang saya lihat dengan jelas”
ARTIKEL BERKAITAN: Angka kematian meningkat, 10 terkorban nahas FRU dengan lori pasir
Dalam satu lagi video, kedengaran suara mangsa yang memanggil ibunya sejurus kemalangan berlaku.
Kelihatan seorang wanita memeluk gadis itu yang terselamat dan berjaya keluar dari keretanya.
“Kejadian pada 12 Mei 2025. Baru je ayah dia pesan hati-hati ikut jalan dalam, banyak lori. Alhamdulillah anak ibu selamat.
“Umur baru 21, lesen P baru setahun. Kereta baru sembilan bulan guna. Biasa ada ibu yang drive, tu yang (dia) panggil ibu bila jadi macam ni.
“Maaf ibu kerja tempat lain pada hari kejadian,” tulis ibu mangsa menerusi hantaran tular di TikTok.
Wanita itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci lokasi kejadian.
Video itu turut dihujani pelbagai komen netizen termasuklah yang menyamakan ia seperti filem Final Destination.
Antara lain, netizen turut mendoakan wanita itu dan berharap dia mendapat keadilan sewajarnya.