suria

Murid bagi hadiah 'rare', cikgu teruja dapat Kerapu, Gomblang segar - “Wow lagi mahal daripada handbag”

Jamaludin berkongsi video menunjukkan momen ketika memberi ikan kepada guru-guru tersebut.

SAMBUTAN Hari Guru di sebuah sekolah mendapat perhatian ramai apabila dua beradik menghadiahkan beberapa jenis ikan segar bersaiz besar kepada cikgu-cikgu mereka.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, bapa kepada dua murid tersebut, Jamaludin, merakam video anak-anaknya membawa beberapa ekor ikan dan menyerahkannya sendiri kepada guru-guru di Sekolah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman di Pahang sempena sambutan Hari Guru.

Lebih menarik, ikan-ikan yang dijadikan hadiah oleh anak lelaki dan perempuan Jamaludin itu bukan calang-calang kerana ia terdiri daripada spesis Gomblang dan Kerapu segar dari laut.

“Hadiah Hari Guru paling rare (lain daripada lain),” kata seorang guru wanita yang teruja menerima hadiah lima ekor ikan spesis unik dan mahal itu. 

Dalam video tersebut, Jamaludin bergurau mengatakan guru-guru boleh terus memasak ikan pemberian anak-anak muridnya itu.

"Sekolah di pulau. Hadiah Hari Guru cara pulau. Malam ni boleh masak tiga rasa," tulis Jamaludin pada video yang dikongsi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dan terhibur dengan hadiah ‘rare’ tersebut. 

Ramai yang menyifatkannya lebih bernilai daripada hadiah biasa yang diberi murid-murid di bandar.

Tak kurang juga yang memuji keikhlasan pemberian tersebut, yang dianggap jauh lebih bermakna daripada hadiah berjenama.

"Wow ikan Gomblang. Mahal tu. Alhamdulillah cikgu dapat ikan mahal daripada harga ‘handbag’.

“Hadiah yang adik ni bagi lagi mahal dari budak-budak sekolah bandar. Harga ikan tu, fuh... kalau banyak tu, lebih RM300 ada (boleh jadi),” demikian antara komen netizen.

Semakan di Internet mendapati harga purata ikan kerapu bermula RM25 sekilogram manakala bagi ikan Gomblang, yang juga dikenali sebagai Gerong Belang atau Kalakitok, harga puratanya adalah RM26 sekilogram.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia