suria

“Gajah pun tahu sayang anak tau” - Ibu Siti Jamumall

Ibu Siti berkongsi luahan hatinya menerusi TikTok.

KISAH pempengaruh Siti Jamumall yang diceraikan suaminya 'Aiman Tak Kisah' menerusi siaran langsung TikTok terus menjadi bualan netizen.

Kisah kontroversi pasangan itu turut meraih perhatian ibu Siti Jamumall iaitu Norizan Jaafar yang berkongsi video luahan hatinya menerusi TikTok.

"Nasi dah jadi bubur. Nak nasihat pun dah tak guna. Apa yang penting sekarang saya nak Siti ada semangat balik.

"Sebagai mak, saya tak sanggup tengok anak saya macam tu. Gajah pun tahu sayang anak tau," ujar ibunya yang mesra disapa sebagai Kak Izan.

Dalam hantaran video berasingan, wanita itu berkata dia sukar melelapkan mata selepas menonton siaran langsung melibatkan anak dan menantunya.

Dakwa Norizan, dia juga tahu pasangan itu berdepan banyak masalah dalam perkahwinan mereka.

Siti Jamumall kini sedang hamil lima bulan hasil perkahwinan dengan Aiman.

"Orang lain tengah sedap tidur, saya tak dapat tidur. Masa nak tidur, terbuka 'live', nampak Siti bergaduh dengan Aiman.

"Tiba-tiba dengar Aiman bagi talak dua dekat Siti. Dalam rumah tangga mereka, bukan saya tak tahu. Macam-macam terjadi, bergaduh kasar pun pernah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Belum sebulan rujuk, Siti Jamumall cerai lagi! Kali ini ketika ‘live’ TikTok bertalak dua

"Bagi nasihat berbuih mulut, tapi nak jadi juga macam ni. Baru sebulan lepas dia bagi talak satu, malam ni dia bagi dua talak. 

"Habislah, apa lagi, puaslah hati kan? Yang jadi mangsa sekarang adalah Siti," ujar Norizan lagi.

Pada Khamis, mStar melaporkan Aiman dan Siti Jamumall bercerai buat kali kedua.

Sebelum ini, pemilik nama sebenar Khairul Aiman Abdul Kudus dan Siti Suriani Wahiddin itu pernah bercerai  dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu. 

Namun, mereka mengambil keputusan untuk kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.

Siti kini sedang hamil lima bulan hasil perkahwinan bersama Aiman. 

Artikel Lain