suria

Keluar ikut tingkap, panjat bumbung kereta sedang bergerak untuk tukar ‘seat’... Dua lelaki ditahan polis

Aksi berbahaya warga asing memanjat bumbung pada Khamis.

DUA lelaki warga asing yang melakukan aksi berbahaya dengan memanjat bumbung kereta sedang bergerak akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata pihaknya mengesan video tular di media sosial pada Khamis yang memaparkan aski berisiko melibatkan dua individu di atas Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bertindak segera mengesan dan menahan kedua-dua suspek.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mereka adalah penumpang kenderaan tersebut, manakala pemandu tidak terlibat dalam aksi itu.

“Individu pertama yang duduk di tempat duduk hadapan bertindak keluar melalui tingkap dan memanjat bumbung semasa kenderaan sedang bergerak, sebelum masuk semula ke dalam kereta melalui tingkap sama.

“Beberapa minit kemudian, individu kedua yang duduk di bahagian belakang bertukar tempat dengan individu pertama dan mengulangi aksi sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, kedua-dua lelaki itu sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar pemandu kenderaan yang difahamkan akan pulang ke Tajikistan.

Norhizam menegaskan tindakan itu adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Artikel Lain