PERJALANAN pulang empat sekeluarga ke rumah dari sekolah berakhir tragedi apabila motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan, pada tengah hari Khamis.
Kejadian berlaku pada pukul 1 tengah hari selepas penunggang motosikal berusia 42 tahun bersama tiga yang lain menjadi mangsa langgar lari di Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang di Kelantan.
Kakak ipar mangsa, Rosilawati Md Noor, 48, berkata, adik iparnya, Mohd Fakhrazi Mat Zain membonceng anak bongsu, Muhammad Uwais, 3, selepas mengambil dua anak saudara lelaki serta perempuan, masing-masing berusia lapan tahun yang baru pulang dari sekolah.
Memetik Harian Metro, katanya, dia dimaklumkan bahawa mereka berempat menaiki sebuah motosikal sebelum dilanggar Proton Persona yang mana pemandunya kemudian melarikan diri.
"Adik ipar masih belum sedarkan diri dan mendapat rawatan di hospital, namun anak bongsunya berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia," kata Rosilawati dipetik sebagai berkata.
Menurut Rosilawati, dua lagi anak saudara yang terlibat dalam kemalangan itu turut cedera parah yang kini menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya belum menerima laporan berkaitan insiden itu.
Bagaimanapun katanya, video yang tular itu sudah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.
Terdahulu, tular video yang menunjukkan mangsa terbaring di jalan raya selepas dilanggar sebelum dibantu oleh orang awam.
Aktivis, Caprice turut memuat naik rakaman tersebut di akaun Instagram miliknya.