WARGA guru menerima khabar gembira sempena sambutan Hari Guru Ke-54 yang diraikan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak pada Jumaat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan enam inisiatif yang diterima warga pendidik ketika berucap pada majlis berkenaan.
Inisiatif pertama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka permohonan pertukaran selepas seseorang guru itu berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.
Kedua, seramai 1,470 orang 'personel MyPG', iaitu pembantu guru bagi tahun 2025, akan ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan, dengan setiap sekolah menerima dua 'personel MyPG' .
Ketiga, seramai 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bakal melalui pengalaman di sekolah antarabangsa di United Kingdom.
Pemberian secara percuma itu menerusi Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).
Inisiatif keempat, KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti Program Kursus Jangka Pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.
Kelima, diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM.
Keenam, diskaun buku antara 20 peratus hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM.