TRAGEDI menyayat hati melibatkan kematian seekor anak gajah yang dilanggar sebuah lori muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Ahad lalu, mengundang pelbagai reaksi.
Walaupun laporan polis mengesahkan tiada unsur kecuaian berlaku, pemandu lori tersebut tetap tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersedih atas kejadian itu.
Permohonan maaf itu dizahirkan menerusi seorang TikToker pencinta haiwan, Kakak Raptor yang turut memuat naik video ulasan mengenai kejadian tersebut.
Dalam video itu, Kakak Raptor berkongsi mesej peribadi (DM) yang diterima daripada pemandu lori berkenaan yang tampil menjelaskan keadaan sebenar kepadanya.

Pemandu lori menceritakan bagaimana anak gajah terperosok di bawah lori dipandu.
Menurut perkongsian pada video Kakak Raptor, pemandu lori itu memberitahu bahawa kejadian berlaku sekitar pukul 2 pagi ketika dia baru sahaja mengambil alih tugas daripada seorang rakan.
Mereka ketika itu dalam perjalanan membawa muatan 360 bakul ayam, dengan berat kira-kira 10 tan.
"Saya sampai di tempat kemalangan tu selepas satu selekoh saya dah nampak seekor gajah berdiri di sebelah kanan jalan sedang makan rumput atau dedaun di tepi besi penghalang sebelah kanan jalan.
"Waktu tu jarak penglihatan dapat dilihat, suasana ada kabus tapi nipis maksudnya. Gajah tu pijak rumput. Memang saya lihat dengan jelas. Saya pun kurangkan kelajuan tanpa memijak pedal minyak," katanya.
Tambahnya lagi, ketika melalui kawasan itu dia mendakwa memandu sekitar 30 hingga 40 kilometer sejam.
ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah saya bukan orang kejam” - Gadis mengaku anak pemandu lori kes langgar gajah rayu henti kecaman
ARTIKEL BERKAITAN: Anak maut dilanggar, terperosok bawah lori… Video ibu gajah setia menunggu sampai hari cerah undang sebak
Namun, tiba-tiba seekor anak gajah meluru keluar dari hutan di sebelah kiri secara mengejut, menyebabkan dia tidak sempat mengelak.
"Anak gajah tu pada awalnya tidak ada di samping gajah tu. Betul-betul (muncul) depan lori, mulut ni hanya sempat sebut nama Allah (saya masih di jalan kiri jalan saya).
"Saya pusing stereng ke kanan tapi masih mengenai (terlanggar) anak gajah tu, brek dan bunyi hentaman kedengaran serentak waktu tu.
"Mungkin waktu tu lori tak laju, anak gajah terpelanting tak jauh. Tapi waktu untuk lori berhenti jadi akan ambil jarak (masa)," jelasnya mengenai kejadian tragis itu.
Bagaimanapun akibat kemalangan itu, lori mengalami beberapa kerosakan termasuk bahagian paip minyak dan sistem brek sehingga menyebabkan enjin terus mati di tengah jalan.
Mungkin waktu lori tak laju, anak gajah terpelanting tak jauh.
PEMANDU LORI
Kejadian itu bukan sahaja mengejutkan dirinya, malah turut menimbulkan kegelisahan dalam kalangan mereka berdua yang berada di dalam lori.
Ia juga merupakan pengalaman pertama kali berdepan insiden tragis di kawasan berbukit seperti itu sepanjang mereka bertugas.
Susulan insiden itu yang mendapat perhatian meluas di media sosial, ramai pihak pada awalnya menyalahkan pemandu lori.
Namun selepas penjelasan daripada pihak polis dan perkongsian video dari Kakak Raptor, banyak pihak mula memahami situasi sebenar.
"Akak tolong beritahu pemandu lori itu, kami semua minta maaf dekat pemandu lori tu dari hujung rambut sampai kaki.
"Ada orang, kalau dia resah, malu ke apa dia akan gelak. Saya pun macam tu. Bukan sebab kelakar tapi nak kawal emosi sebab saya mudah tersentuh orangnya.

Kakak Raptor mendedahkan mesej yang dikatakan dihantar oleh pemandu lori ayam.
"Tak payah layan la netizen terpaling cintakan haiwan. Kereta langgar lembu boleh pula salahkan pemilik lembu," demikian antara komen netizen.
Terdahulu, seorang individu mendakwa dirinya anak kepada pemandu lori tampil membuat permohonan maaf kepada orang ramai bagi pihak bapanya.
Menerusi satu hantaran yang dibuat pada Isnin, dia mengakui berasa pilu melihat pelbagai kecaman dilemparkan kepada keluarganya akibat kemalangan tidak terduga itu.
Malah, wanita itu juga turut menafikan dakwaan kononnya bapanya tidak menunjukkan ihsan terhadap tragedi dan menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas.
mStar pada Ahad melaporkan seekor anak gajah berusia sekitar lima tahun mati selepas digilis sebuah lori muatan ayam di JRTB Gerik-Jeli, Perak.
Ramai yang tersentuh hati selepas menonton video memperlihatkan ibu gajah berkenaan setia berdiri di sebelah bangkai anaknya yang tersepit di bawah lori terbabit.
Ibu gajah itu dianggarkan berusia antara 25 hingga 27 tahun.


