SEKURANG-KURANGNYA 40 jahitan terpaksa dilakukan pada seluruh tubuh Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi susulan kecederaan dialaminya selepas diserang anjing di Batu Pahat, Johor pada 5 September lalu.Berkongsi perkembangan terbaharu itu, bapa saudara mangsa, Shahrizal Mohd Hanafiah turut menyuarakan rasa sebak apabila mendedahkan reaksi kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu sebaik sahaja dia kembali sedar. "Nur Haira Wafiqah menerima sekurang-kurangnya 40 jahitan seluruh badan. Perkataan pertama dan terakhir daripada Haira lepas buka mata adalah susu dan bear," katanya menerusi Thread.ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa wujud naratif salahkan keluarga?” - Bapa saudara nafi anjing serang Nur Haira milik mereka, dedah asal usul sebenarSementara itu, bapa mangsa, Muhammad Hamizi Hamdan menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan keadaan anaknya setakat Isnin berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru."Nur Haira Wafiqah sudah sedar dan proses pemulihan berjalan dengan lancar dan terkawal namun akan ada beberapa siri pembedahan terutama dibahagian kepala di mana kecederaan yang diterima agak parah pada hari kejadian," katanya.Dalam masa sama, Muhammad Hamizi merayu orang ramai supaya terus mendoakan kesembuhan anaknya selain berharap segala proses rawatan dan pembedahan dipermudahkan.Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi Sabtu, 5 September lalu, mangsa diserang lima ekor anjing liar di hadapan rumah neneknya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu.Kejadian disedari nenek mangsa selepas melihat pintu gelangsar rumah terbuka sebelum mendapati cucunya sedang dikerumuni dan digigit haiwan berkenaan.Serangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah termasuk luka pada bahagian kepala dan pipi.