SELEPAS lima hari keluarga menanti untuk membawa pulang jenazahnya dari Sarawak, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham akhirnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan pada petang Ahad.Jenazah juruterbang berusia 30 tahun yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Baram itu dikebumikan kira-kira pukul 6.04 petang dengan diiringi ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan. Terdahulu, solat jenazah diadakan selepas solat Asar di Masjid Bandar Baru Senawang dengan diimamkan sendiri oleh bapanya, Bee Sham Ahmad, 59.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa Datuk Seri patut tahu” - Kru penerbangan utus mesej buat Anwar, kenang sifat baik Kapten Zainol AfiqKetika ditemui pemberita, Bee Sham berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sokongan kepada keluarganya sepanjang mereka berada selama lima hari di Miri bagi menguruskan proses membawa pulang jenazah anaknya.Jelasnya, keluarga sedaya upaya sepanjang tempoh sukar itu bagi memastikan jenazah Zainol Afiq dapat disemadikan di kampung halaman mereka di Senawang.“Terima kasih kepada semua yang hadir. Sepanjang lima hari di sana, kami sedaya upaya berusaha untuk membawa dan menguruskan jenazah anak kami supaya dapat dikebumikan di sini.“Sepanjang hidup saya bersamanya, dia seorang anak yang baik. Memang dari awal lagi dia bercita-cita untuk menjadi juruterbang, dia menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam tugasnya,” katanya.Zainol Afiq meninggalkan isteri, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, serta dua cahaya mata, Adelia Sofia, 6, dan Ian Zayn yang berusia sembilan bulan.