Tangkap layar video tular menunjukkan reaksi orang ramai yang terkejut menyaksikan insiden di sebuah kedai makan.
POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak kasar dengan menyepak kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di sebuah kedai makan di Telipot di Kota Bahru, Kelantan.Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penularan video kejadian itu di media sosial pukul 10.24 malam Sabtu. "Kejadian dipercayai di sebuah kedai makan di Telipot dan video berkenaan dimuat naik oleh pemilik premis menerusi akaun Facebook miliknya."Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.Mohd Azmir berkata, polis masih berusaha mengesan lelaki dan kanak-kanak perempuan dalam rakaman video tular berkenaan.Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faraheen Azman Lim di talian 011-11136722 bagi membantu siasatan.Menerusi rakaman video tular berdurasi kurang satu minit itu, lelaki terbabit dilihat menarik tangan mangsa secara kasar sebelum bertindak melampau dengan menyepak bahagian punggung kanak-kanak berkenaan.Impak sepakan kuat itu menyebabkan mangsa terus jatuh tersungkur.Lelaki terbabit kemudian membangunkannya semula lalu beredar sambil menarik tangan kanak-kanak itu.Insiden ganas itu berlaku di hadapan orang ramai ketika kedai berkenaan dipenuhi pelanggan yang kelihatan terkejut dan tergamam melihat tindakan lelaki tersebut.