suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Inspirasi wira bahas… Johan Piala Perdana Menteri 2026 singgah konti Suria FM kongsi pahit manis bolot gelaran juara

Juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-51 Tahun 2026 hadir ke konti Suria FM untuk berkongsi pengalaman, cabaran serta detik manis sepanjang perjalanan sehingga bergelar johan kategori Bahas Melayu dan Bahasa Inggeris. -AZLINA ABDULLAH/The Star

SEKOLAH Sultan Alam Shah (SAS) terus mengukuhkan dominasi dalam arena bahas apabila muncul juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-51 Tahun 2026 bagi kategori Bahasa Inggeris, pada Khamis.

Lebih manis, kejayaan ini menyaksikan SAS mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut pada tahun ini, sekali gus melakar kejuaraan kelima secara keseluruhan.

Pencapaian ini membuktikan kehebatan dan konsistensi pasukan bahas sekolah berkenaan di pentas kebangsaan.

Pasukan SAS yang dianggotai Faris Aryan Faizul, Syed Mika Syed Mohammad, Tuan Muhammad Affan Tuan Mohd Zaidi dan Adam Rayyan Abdul Azim berjaya mengharungi persaingan sengit sebelum dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000, selain piala iringan serta sijil.

Guru penasihat, Mohamad Nazrol Hisyam Abdullah, menyifatkan kemenangan tersebut amat bermakna, apatah lagi piala baharu diperkenalkan pada tahun ini.

"Ini kali kelima kami menjulang kejuaraan. Ia amat bermakna kerana piala ini baru diperkenalkan tahun ini dan jumlah ganjarannya juga agak besar.

"Anak-anak SAS sudah memberikan yang terbaik. Apa yang mereka beri, itulah yang mereka dapat sebagai ganjaran," katanya ketika ditemui di konti Suria FM sewaktu temu bual bersama deejay, Feeya Iskandar.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, momentum untuk mempertahankan kejuaraan bukan sesuatu yang mudah.

Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa, Shalwati Norshal, berkata harapan tinggi terhadap SAS untuk kembali muncul juara secara tidak langsung menambah tekanan kepada pasukan.

Suria Live Interview - Bahas Piala Perdana Menteri KE-51. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Guru pengiring SAS, Mohamad Nazrol Hisyam Abdullah dan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa SAS, Shalwati Norshal.

"Tekanan itu memang sangat tinggi. Sebagai guru kanan Bahasa, tanggungjawab itu turut terletak di bahu saya.

"Namun, tekanan ini secara tidak langsung menguatkan semangat dan membina karakter serta keyakinan mereka," katanya.

Tambah Shalwati, kejayaan tersebut bukan hanya semata-mata pengorbanan pembahas serta guru, malah ia dicapai dengan sokongan tidak berbelah-bahagi daripada pihak sekolah.

Malah katanya, latihan turut mendapat sokongan alumni pembahas SAS yang sanggup kembali membantu generasi baharu demi meneruskan legasi sekolah.

"Bagi saya, menang bukan segala-galanya kerana ilmu berbahas itu sendiri boleh menjadi kelebihan untuk mereka mendapatkan biasiswa. Ramai pembahas sebelum ini menerima biasiswa daripada PNB, Khazanah dan Petronas.

"Saya juga amat tekankan, adab perlu dijaga, terutama dengan guru. Kalau mereka perlu keluar ketika Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk berlatih, mereka perlu mendapatkan kebenaran guru yang mengajar.

"Jadi, mereka perlu buktikan mereka mampu seimbangkan kedua-duanya antara akademik dan juga bahas. Mereka ini juga sememangnya pelajar cemerlang atau scorer dalam akademik," katanya.

Suria Live Interview - Bahas Piala Perdana Menteri KE-51. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Temu bual bersama Suria FM dikendalikan deejay, Feeya Iskandar.

Sementara itu, Faris Aryan yang mewakili pasukannya menyifatkan komunikasi dan toleransi tinggi menjadi kunci kepada kejayaan pasukan bahas SAS.

"Kami sudah buat yang terbaik sebagai satu pasukan dengan sokongan guru, rakan seangkatan dan sekolah lain. Apabila diumumkan menang, kami sangat bangga dan bersyukur.

"Sudah tentu ada pelbagai cabaran namun jika ada perbezaan pendapat, kami duduk bersama, berbincang secara santai dan cari solusi.

"Setiap pembahas mempunyai tugas masing-masing dan dinamik pasukan kami sangat unik. Bahas juga membuatkan kami lebih rapat dan moga kami dapat kekalkannya hingga masing-masing melanjutkan pelajaran dan seterusnya," katanya.

SMSS cipta sejarah selepas terkandas 17 tahun

Dalam pada itu, kejayaan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) mengungguli kategori Bahasa Melayu pula mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya muncul juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000, selain piala iringan serta sijil.

Pasukan dianggotai, Muhammad Sharin Syazwi Md Shariff, Ahmad Zikry Wafiy Mohd Rozaini, Muhammad Amsyar Mohd Sahdan dan Aqeef Amsyar Suhaimi berjaya menamatkan penantian panjang sekolah tersebut.

Pengetua SMSS, Kamsiah Yasin, menyifatkan kemenangan itu sebagai detik bersejarah selepas sekolah berkenaan sebelum ini pernah melangkah ke pentas akhir pada 2009 dan bergelar naib juara.

"Alhamdulillah, kemenangan ini amat bermakna buat SMSS kerana ini kali pertama kami menjuarai Bahas Piala Perdana Menteri. Kemenangan kali ini benar-benar melakar sejarah buat sekolah," katanya.

Sementara itu guru penasihat, Putri Noor Kharizah Megat Mohd Aris, berkata selain latihan intensif, aspek disiplin dan penghayatan agama turut ditekankan kepada para pembahas.

Katanya, kemudahan baharu berupa studio bahas turutmemberi perubahan besar terhadap persiapan pasukan.

Suria Live Interview - Bahas Piala Perdana Menteri KE-51. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Pengetua SMSS, Kamsiah Yasin (kanan) bersama guru penasihat SMSS, Putri Noor Kharizah Megat Mohd Aris.

"Sebelum ini kami tidak mempunyai tempat yang benar-benar kondusif untuk berlatih. Mereka terpaksa menggunakan makmal komputer, dewan makan dan sebagainya.

"Sekarang sudah ada studio bahas, jadi mereka boleh fokus dan berlatih dengan lebih intensif. Secara tidak langsung ia turut membangkitkan semangat bukan sahaja dalam kalangan pembahas, malah junior mereka," katanya.

Menurut guru itu lagi, kemenangan tersebut juga menjadi pembakar semangat kepada pelapis untuk meneruskan legasi dan mengharumkan nama SMSS pada masa hadapan.

Semestinya kemenangan ini tidak hadir dengan mudah tanpa komitmen, disiplin dan pengorbanan yang tinggi daripada barisan pembahas, guru-guru penasihat serta sokongan padu daripada para pentadbir, alumni, ibu bapa dan seluruh warga sekolah yang sentiasa berada di belakang mereka.

Mengulas mengenainya, Muhammad Sharin Syazwi Md Shariff yang mewakili pasukan berkata, cabaran terbesar sepanjang persiapan adalah memastikan tanggungjawab sebagai pembahas tidak menjejaskan akademik.

"Cabaran sentiasa ada, cuma cara kita menyesuaikan diri itu penting. Setiap kali selesai latihan bahas, kami akan mengadakan sesi ulang kaji untuk memastikan akademik tidak terabai.

"Semestinya kemenangan ini berbaloi dengan pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan. Semua pengorbanan yang dilakukan terasa bermakna dan tidak sia-sia.

"Lebih-lebih lagi selepas 17 tahun kemarau tanpa melangkah ke pentas akhir," akhirinya.

Artikel Lain