BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 sebagai ucapan seorang 'bakal Perdana Menteri'.Khairy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasarnya pada Jumaat. "Saya rumuskan ucapan ini sebagai ucapan daripada seorang bakal Perdana Menteri, daripada sebuah kerajaan yang sedang menunggu untuk mengambil alih," katanya.Menurut Khairy, ucapan Ahmad Zahid turut memberikan gambaran jelas mengenai hala tuju Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid mahu PRU16 disegerakan, bukan tuntutan tetapi kehendak rakyatSementara itu, veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyeru pihak yang pernah menjadi seteru politik supaya kembali bersama parti bagi membentuk 'satu keluarga besar'."Kita mengalu-alukan mereka untuk kembali. Kita mahukan satu keluarga besar," katanya ketika ditanya mengenai seteru politik Umno.Mengulas kehadiran pemimpin PAS pada PAU kali ini, Tengku Razaleigh menyifatkan ia sebagai perkembangan positif yang membuka ruang kepada penyatuan semula."Bagus. Saya fikir itu sesuatu yang baik. Kita boleh bersatu semula," katanya.Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ucapan Ahmad Zahid mencerminkan perkara yang benar-benar diinginkan rakyat.Menurutnya, perkara dibangkitkan Presiden Umno itu juga membolehkan pengundi melihat parti berkenaan dan BN sebagai pilihan terbaik untuk mereka."Itulah realitinya sekarang. Presiden hanya membentangkan fakta. Rakyat tidak lagi mahukan politik retorik yang hanya menjanjikan sesuatu," katanya.Dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengumumkan perancangan memperkenalkan Agenda Malaysia Biru bagi mencorakkan masa depan negara untuk jangka panjang sehingga ulang tahun ke-100 kemerdekaan.Agenda berkenaan bakal menggariskan visi membentuk sebuah negara berdaulat, bersatu dan berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi ekonomi, mempunyai kedudukan disegani di peringkat global serta menikmati kemakmuran secara saksama.Perincian penuh mengenai Agenda Malaysia Biru akan diumumkan kemudian.-The Star