SEORANG pemandu lori berdepan empat pertuduhan membunuh empat individu dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) pada 31 Ogos lalu. Tertuduh, Zulkarnain Md Noh, 52, didakwa atas kesemua pertuduhan dalam prosiding yang dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar pada Jumaat. Prosiding pendakwaan dijalankan di wad hospital berikutan Zulkarnain masih menerima rawatan susulan kejadian tersebut.Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa membunuh Muhammad Nazatullah Nazmi, 32; isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan; anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4; serta Seow Beng Wai, 55, di KM110.3 LPT arah timur, dalam daerah Temerloh, kira-kira pukul 10.30 malam.Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi.Mahkamah kemudian menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.