suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Remaja tikam mati pelajar senior terlepas tuduhan bunuh... Mahkamah sahkan hidap skizofrenia serius

Kitson memaklumkan keputusan mahkamah dibuat berdasarkan laporan rawatan serta pandangan pakar.

SEORANG remaja lelaki dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin mendapati dia tidak siuman semasa kejadian berlaku.

Remaja berusia 15 tahun itu terlepas daripada tuduhan membunuh mangsa berusia 16 tahun selepas mahkamah menerima pembelaan bahawa keadaan mentalnya ketika kejadian memenuhi peruntukan Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Seksyen 84 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa sesuatu perbuatan oleh individu yang tidak sempurna akal atau tidak siuman ketika kejadian sehingga tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya atau sama ada ia salah atau bertentangan dengan undang-undang, bukan suatu kesalahan.

Peguam yang mewakili remaja itu, Kitson Foong berkata, Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan mental anak guamnya berdasarkan keterangan pakar psikiatri yang dilantik mahkamah.

Menurutnya, penilaian berhubung keadaan mental remaja itu bukan sekadar dakwaan pihak pembelaan, sebaliknya disokong pandangan pakar psikiatri bebas yang tidak memihak kepada mana-mana pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja dituduh bunuh pelajar perempuan minta maaf... Saksi pakar dedah situasi minda, rupanya alami penyakit mental sejak 5 tahun lalu

Mahkamah turut menerima keterangan pakar yang mengesahkan remaja berkenaan menghidap skizofrenia serius dan agresif selain mengalami keadaan mendengar suara.

Dalam pada itu, Kitson berkata, mahkamah memerintahkan remaja berkenaan dimasukkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani rawatan bermula Isnin.

Menurutnya, proses rawatan dijangka mengambil masa dan pihak Hospital Bahagia akan menyediakan laporan bertulis secara berkala untuk dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Laporan berkenaan akan menjadi antara perkara yang dipertimbangkan bagi menentukan sama ada remaja itu sesuai untuk kembali kepada masyarakat.

Kitson berkata, laporan rawatan akan dikemukakan kepada Sultan Selangor sekali setahun bagi pertimbangan pengampunan.

Mengulas keadaan anak guamnya, Kitson berkata, remaja itu memahami penghakiman yang dibuat, manakala ahli keluarganya yang hadir di mahkamah turut menerima keputusan tersebut.

Beliau turut menegaskan keputusan mahkamah tidak seharusnya dianggap sebagai satu penghinaan terhadap keluarga mangsa.

Menurutnya, kehilangan nyawa mangsa yang juga seorang remaja tetap perlu diambil kira dan tidak pernah diketepikan oleh pihak pembelaan.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan laporan rawatan serta pandangan pakar mengenai keadaan mental tertuduh.

Kitson berkata, kanak-kanak yang berdepan masalah mental wajar diberikan ruang untuk menjalani rawatan selain peluang kedua dalam kehidupan.

Remaja berkenaan berusia 14 tahun dan pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan ketika kejadian, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 11 saksi, manakala pembelaan memanggil dua saksi termasuk remaja berkenaan sendiri.

Artikel Lain