AKIBAT diserang sekumpulan anjing liar, seorang murid sekolah terpaksa bercuti selepas terjatuh ke dalam parit, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.Menurut seorang wanita yang berkongsi hal berkenaan di media sosial, kejadian itu berlaku berhampiran rumahnya di Kampung Terap, Jalan Serdang-Kulim, Kedah pada Ahad. Katanya, kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah menaiki basikal itu merupakan rakan sekelas kepada anaknya dan bernasib baik kerana kejadian berkenaan disaksikan orang ramai.“Nasib baik ketika kejadian disaksikan penduduk setempat dan anjing-anjing tersebut sempat dihalau.“Ini bukan kejadian pertama. Minggu lalu juga seorang makcik dikejar anjing ketika berbasikal pulang ke rumah,” katanya.Mengulas lanjut, wanita itu memberitahu isu ancaman anjing liar di kawasan itu sudah berkali-kali dilaporkan kepada pihak berkuasa, namun jawapan yang diterima masih menghampakan.“Kami sangat risau sekiranya berlaku kecederaan lebih serius, terutama melibatkan kanak-kanak.“Laporan sudah dibuat dan aduan juga telah dikemukakan. Takkan hendak tunggu ada kematian baru nak bertindak?” luahnya.Pada masa sama, dia menjelaskan penduduk kampung kini dalam dilema untuk mengambil tindakan sendiri kerana bimbang berdepan masalah undang-undang."Penduduk memang ada sepakat tapi takut nak bertindak, risau kena dakwa atas isu kekejaman terhadap haiwan pula," katanya. Sehubungan itu, penduduk amat berharap pihak berkuasa dapat turun padang dan mengambil langkah sewajarnya dengan segera sebelum ada nyawa yang melayang.